Seorang penumpang wanita di dalam kereta api sedang terbakar di Boston, Massasuchets bertindak di luar kebiasaan dengan terjun ke dalam Sungai Mystic berbanding melarikan diri ke atas landasan, lapor akhbar New York Post semalam.
Video tular yang dirakam dari dalam kereta api semasa kejadian menunjukkan ramai penumpang memanjat melalui tingkap kereta api dan melarikan diri di atas landasan. Kejadian berlaku ketika tren itu berada di sebuah jambatan. Namun, salah seorang daripada mereka memilih untuk terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan diri.
“Seorang penumpang wanita tidak dikenali melompat dari jambatan di mana kereta api itu terhenti terus ke dalam sungai. “Bot marin kami kebetulan berada di sungai untuk latihan dan segera bergegas ke lokasi wanita itu terjun, namun dia enggan masuk ke dalam bot. Anggota kami memberikannya jaket keselamatan dan dia terus berenang ke tebing dan berlalu pergi,” kata Ketua Jabatan Bomba Somerville, Charles Breen. Kereta api Orange Line itu melintasi Sungai Mystic apabila terbakar sejurus sebelum pukul 7 pagi (waktu tempatan). Pihak berkuasa berkata, seramai 200 penumpang dipindahkan dari kereta api itu yang menuju ke stesen Somerville. Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan. MBTA berkata perkhidmatan kereta api disambung semula menjelang pukul 10.30 pagi hari yang sama. Punca kebakaran belum didedahkan oleh pihak berkuasa. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT