Sedih dan 'bengang'. Itulah perasaan pelakon, Zahiril Adzim apabila menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pembekal pakaian dari Indonesia.
Menerusi rakaman temu bual mStar bersama pelakon itu, kesemua baju yang dihantar oleh pembekal berkenaan tidak boleh dijual kerana kualiti teruk dan tidak memuaskan mengakibatkan dia kerugian RM6,000.
Bagaimanapun, aktor berkenaan reda dan berlapang dada serta menyifatkan insiden tersebut sebagai pengajaran dalam menjalankan perniagaan. Insiden berkenaan adalah asam garam dalam dunia perniagaan.
"Sebelum ini buat dengan pembekal yang okay tapi mereka sibuk dan tidak dapat siapkan tempahan dalam masa ditetap. Jadi, dengan syarikat pembekal baharu, ini adalah kali pertama saya membuat tempahan dengan mereka.
"Macam biasalah, mula-mula tu bagi janji manis. Tapi, mula rasa sangsi apabila mereka asyik push. Dah bayar 50 peratus, mereka push lagi untuk bayaran penuh. Tetapi, barang yang kami terima sangat mengecewakan. Kualiti memang teruk, kalau bahasa kasar kata memang sampah... dengan jahitan senget.
"Mula-mula rasa bengang, marah tapi apabila fikir balik ini adalah ujian. Biasalah, buat bisnes cuma terkilan sebab baru belajar berniaga dan itulah modal. Apabila kena tipu memang terduduk kejap. Barang-barang memang langsung tak boleh jual," katanya.
Sumber mStar
Sumber mStar
Tidak berdiam diri, Zahiril cuba menghubungi pembekal berkenaan namun nombor telefon serta akaun media sosialnya disekat oleh pihak berkenaan. Pelakon itu turut menggunakan akaun peribadi untuk mencari jalan penyelesaian namun masih belum berjawab.
Walaupun pahit, namun kejadian itu sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perniagaan yang diusahakannya itu.
"Saya tidak akan mengalah dan serik cuma selepas ini akan lebih berhati-hati. Satu perkara yang saya belajar, dalam perniagaan ini ada turun naik dan saya bergantung sepenuhnya kepada Allah," katanya yang terpaksa menempah sesetengah barangan jualan dari luar negara yang menawarkan material produk yang dihendakinya. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My