Ketangkasan seorang murid perempuan tahun dua Sekolah Kebangsaan Seri Selangor, Subang Jaya di Selangor untuk mengenal pasti lebih 200 bendera negara hanya dalam masa kurang lima minit mencipta sejarah apabila dia memegang dua rekod dunia.
Memetik laporan mStar, Anjanaa Rhea Ganeson, 8, berjaya mencatat nama dalam Rekod Dunia Kanak-Kanak (KWR) Kanada dan Buku Rekod Jackhi (JBWR) India menerusi catatan masa terpantas yang dicapainya bagi mengenal pasti 230 bendera negara dalam tempoh empat minit 30 saat.
"Saya sangat teruja dan berbesar hati untuk memperoleh pengiktirafan berganda ini. Ia pastinya menaikkan semangat saya untuk melakukan yang lebih baik pada masa depan," katanya dalam wawancara menerusi emel.
Sumber mStar
Anjanaa menerima KWR menerusi sebuah portal dalam talian yang berpangkalan di Kanada bagi menonjolkan bakat kanak-kanak berusia empat hingga 16 tahun di bawah kategori perempuan (tujuh hingga sembilan tahun).
Sementara itu, kejayaan Anjaan menerusi JBWR yang berpangkalan di Tamil Nadu, India pula adalah platform yang mempamerkan bakat terpendam mana-mana individu dari seluruh dunia.
Kanak-kanak itu menyelesaikan tugas tersebut secara mata dan memperoleh pengiktirafan KWR dan JBWR, masing-masing pada Mac lalu.
"Sebelum pandemik Covid-19, saya bersama ibu bapa banyak mengembara ke banyak negara termasuk Indonesia, Kemboja dan India.
"Selama bertahun-tahun, minat saya semakin mendalam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bendera negeri dan negara yang berbeza-beza.
"Saya sangat menyukai warna dan simbol yang menarik bagi setiap bendera. Ia memberi inspirasi kepada saya untuk belajar dan mengetahui tentang bendera semua negara di dunia," katanya yang memasang impian bergelar doktor haiwan. -CARI