Seperti yang kita semua tahu, zaman dahulu sangat berbeza berbanding zaman sekarang. Mesti kita semua pernah mendengar kisah dari datuk dan nenek kita di mana pada zaman dahulu, kanak-kanak sudah perlu memikul tanggungjawab sehingga ada yang terpaksa berhenti sekolah awal.
Jarang sekali kita mendengar ada yang dapat menyambung pelajaran hingga ke peringkat ijazah.
Baru-baru ni, tular video yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Jasmin. Menerusi video itu, kelihatan Jasmin sedang mengajar neneknya untuk mengeja.
Menurut Jasmin, neneknya telah berhenti sekolah pada usia yang sangat muda. Oleh itu, neneknya mempunyai kesukaran untuk mengeja. Namun nenek Jasmin tidak pernah berputus asa, walaupun sudah tua, neneknya masih bersemangat untuk belajar mengeja dan membaca.
Jelas kelihatan nenek Jasmin begitu tekun mempelajari cara untuk mengeja beberapa perkataan dan neneknya juga tidak malu untuk bertanyakan soalan kepada Jasmin.
Walaupun video ini telah menyentuh hati ramai penonton, namun ramai juga yang geli hati menahan ketawa apabila perkataan yang dipilih oleh nenek Jasmin itu seperti membahan pihak kerajaan.
"Malaysia. Kerajaan. Mangkuk", comel betul nenek. Sempat lagi nak membahan.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen akui bahawa nenek Jasmin telah memberi inspirasi kepada mereka untuk terus belajar walaupun sudah tua. - CARI