Indonesia yang merupakan kuasa ekonomi terbesar di Asia Tenggara berusaha menarik pelaburan syarikat kenderaan elektrik, Tesla untuk melabur ke negara itu.
Bilionair terkaya di dunia, Elon Musk merupakan pemilik bersama syarikat tersebut dan beliau dilaporkan akan melawat negara itu pada hujung tahun ini. Sebelum ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi telah melawat kemudahan pengeluaran roket SpaceX yang juga milik Musk dan bertemu dengannya di Boca Chica, Texas, Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu. Pertemuan itu diadakan selepas Jokowi menjemput Musk melalui panggilan telefon pada Disember 2020 bagi meminta syarikatnya melabur di negaranya dalam industri kenderaan elektrik dan membina pelancar roket SpaceX.
Baru-baru ini, Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman dan Pelaburan Indonesia, Luhut Pandjaitan mengumumkan bahawa kerajaan mencadangkan kepada Tesla untuk membina sebuah kilang di Kabupaten Batang, Jawa Tengah. Bagaimanapun, dalam wawancara khas dengan CNBC pada Jumaat lalu yang kemudian disiarkan pada Isnin lalu, Jokowi mendedahkan kenapa beliau memujuk Musk untuk melabur di Indonesia. "Kami mempunyai banyak perbincangan, terutamanya tentang bagaimana Tesla boleh membina industri dari hulu ke hiliran, hujung ke hujung bermula dari peleburan kemudian membina industri katod dan prekursor, membina bateri EV (kenderaan elekrtik), membina bateri litium kemudian kilang kenderaan. Semuanya ada di Indonesia kerana itu sangat efisien. Itulah yang saya tawarkan," kata Jokowi kepada CNBC dalam temu bual eksklusif di bandar Serang di wilayah Banten. Beliau berkata, Musk menghantar pasukan ke Indonesia enam minggu lalu untuk memeriksa potensi nikel, untuk memeriksa aspek alam sekitar tetapi pasukan berkaitan kereta masih belum datang ke negaranya. Jokowi turut menjemput Musk untuk menghadiri sidang kemuncak Kumpulan Negara 20 atau G-20 yang dijadualkan akan berlangsung di Bali pada November depan. Bagaimanapun, Presiden Indonesia itu menyatakan sehingga Jumaat lalu masih belum ada keputusan mengenai rancangan Tesla untuk melabur di Indonesia. Dalam wawancara itu, Jokowi juga menyatakan kerajaan juga telah berbincang dengan pembuat kenderaan elektrik selain Tesla iaitu Ford dan syarikat kereta lain untuk menyediakan kemudahan pembuatan, termasuk kilang kenderaan di Indonesia. Di bawah pemerintahan beliau, Indonesia yang kaya dengan sumber-sumber asli telah mengharamkan eksport komoditi-komoditi utama termasuk nikel yang tidak diproses pada tahun 2020 dan arang batu pada tahun 2021. Menurutnya, jika negara berkenaan terus mengeksport bahan-bahan mentah yang mendapat keuntungan daripada sumber-sumber tersebut adalah negara lain. Sehubungan itu, Indonesia mahu menjadi pemain global dalam pengeluaran bateri kenderaan elektrik dan kereta elektrik. "Kami mahu membina ekosistem perindustrian untuk bateri litium," kata Jokowi sambil berhujah untuk mewujudkan pekerjaan dan menjana hasil cukai. Malah, Jokowi telah mengumumkan pada 8 Jun lalu bahawa kereta elektrik Genesis G80 keluaran syarikat Hyundai dari Korea Selatan akan menjadi kenderaan rasmi sidang kemuncak G20 di Bali. Syarikat Hyundai telah mula memulakan pengeluaran di kilang pemasangan kereta elektrik di Cikarang, Jawa Barat pada Mac lalu apabila ia mengeluarkan kenderaan elektrik IONIQ 5 dengan kapasiti sebanyak 250,000 buah pada setiap tahun. Pada awal bulan ini, Indonesia mengalu-alukan pengeluar bateri kenderaan elektrik seperti LG dari Korea Selatan dan Foxconn dari Taiwan untuk melabur di Kawasan Perindustrian Bersepadu Batang, Jawa Tengah. Kemudahan pengeluaran bersepadu seluas 1,000 hektar itu adalah khusus untuk pengeluaran bateri elektrik yang dikatakan sebagai yang pertama di dunia. Kawasan perindustrian pada asasnya adalah sebahagian daripada usaha negara untuk membina ekosistem kenderaan elektrik berskala besar meliputi sektor huluan hingga hiliran. Terdapat satu lagi kawasan ialah Taman Perindustrian Hijau Kalimantan Utara yang seluas 30,000 hektar dan sedang dalam pembinaan sejak Disember tahun lalu. Kawasan itu juga telah ditawarkan kepada Tesla bagi membantu hasrat Musk untuk mengeluarkan produk mesra alam sekitar atau hijau menjadi kenyataan. Sumber: Sinar Harian
|
Nenasketum replied at 23-6-2022 07:30 PM
Musk tu mungkin scammer tau... hehehe
FOTHER-MUCKER replied at 24-6-2022 12:21 AM
Orang Malaysia yang pernah duduk di Indonesia
How does Malaysia compare to Indonesia?
ADVERTISEMENT