Baru-baru ini apabila keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, berlakunya satu trend baru di platform Tiktok di mana bekas lepasan SPM memuat naik video dengan menayangkan keputusan gagal mereka.
Perkara ini secara tidak langsung mengundang pelbagai kecaman daripada pelbagai pihak. Semua ini mungkin terjadi kerana pegangan 'SPM bukan segala-galanya' dan 'rezeki seseorang itu bukan terletak pada keputusan peperiksaan'.
Oleh disebabkan itu, seorang pengrekrut kerja yang dikenali sebagai Reina Lum tampil bersuara mengenai hal berkenaan di akaun Tiktok miliknya.
Menurut Reina, sebagai seorang manusia, dia tidak nafikan pegangan itu, namun melihat kepada keputusan merosot sesetengah individu membuatkan Reina merasakan bahawa calon tersebut langsung tidak berusaha kerana jika soalan mudah pun tidak mampu dijawab, maka semua ini merupakan satu simbol 'red flag'.
Reina juga menegaskan bahawa walaupun dia seorang pengrekrut yang tidak melihat taraf pendidikan seseorang calon, namun jika keputusan peperiksaan seteruk ini, dia tidak berani mengambil risiko untuk memberi pekerjaan kepada calon itu.
Tambah Reina, jika peluang pekerjaan itu ada sekalipun, ia akan membataskan calon itu untuk naik pangkat kerana pihak pengrekrut pasti akan selidik keputusan pendidikan calon berkenaan.
Reina juga berkata, dia sangat memahami bahawa tidak semua orang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi, namun seseorang itu perlu berusaha untuk mendapat keputusan yang baik untuk memudahkan proses mereka mencari pekerjaan kelak kerana pada zaman ini sangat sukar untuk mencari pekerjaan. - CARI