“Rasa satu tamparan buat saya." Kematian penyanyi Adibah Noor akibat kanser ovari yang dirahsiakan umpama satu tamparan buat pendakwah Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim.
Dalam satu sesi perkongsian di Facebooknya, beliau mengakui berasa malu atas kesabaran Allahyarham yang mengharungi derita penyakitnya itu. "Kita kenal Allahyarham seorang yang sihat seperti kita melihat dia di kaca televisyen. Tiba-tiba badannya agak kurus dan semalam dia kembali ke rahmatullah.
"Saya rasa ia satu tamparan bagi saya sebab saya malu sebenarnya. Malu dengan Allah, malu dengan Almarhumah sebab dia sakit, seorang pun tak tahu. Ada yang tahu, tapi dipesan supaya dirahsiakan. Dia tidak menceritakan kepada orang bahawa dia sakit. Bila dia meninggal, baru orang tahu kesakitan yang dia alami. Sabarnya Almarhumah. "Berbeza dengan saya, satu dunia tahu saya ni sakit. Jadi, saya ni belum jatuh lagi (kategori) orang yang sabar. "Macam Allahyarham Adibah Noor tu dia sabar, dia senyap, tutup mulut tak bagitahu pada orang. Masya-Allah, SubhanAllah hebatnya dia merahsiakan tahap kesakitannya. Mudah-mudahan Allah tempatkan rohnya bersama orang-orang yang beriman," ujarnya. Kata Ustaz Kazim lagi, dia melihat pemergian penyanyi itu sebagai satu pengajaran buat dirinya supaya bersabar apabila diuji dengan kesakitan. "Nak buat macam mana, saya pun tak nak cerita saya sakit jadi viral. Tapi, nak buat macam mana, kan? Jadi, pengajaran pada saya... sakit simpan elok-elok. Rahsia. Kalau Almarhum boleh simpan sakit dia sampailah hari kematian dia, jadi kenapa saya tak boleh tiru dia," tambahnya. Ustaz Kazim sebelum ini pernah bercerita mengenai penyakit misteri dialaminya meskipun sudah menjalani pelbagai rawatan. - CARI |
ADVERTISEMENT