Kejayaan Konsert Search Rockin' On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell baru-baru ini berjaya menarik minat penganjur konsert di Indonesia untuk membawa Search mengadakan konsert di sana.
Wakil Search Rock Station yang juga penganjur konsert berkenaan, Mozylir Mokhtarudin ketika dihubungi mengesahkan mereka didatangi beberapa tawaran daripada penganjur konsert dari Indonesia. "Memang ada beberapa tawaran dari Indonesia tapi ia masih dalam peringkat awal perbincangan. Wakil kita dah ke sana semalam. Saya dan Noordin akan ke Jakarta minggu depan untuk perbincangan lanjut perkara ini. Apa yang saya faham, ada dua penganjur yang berminat.
"Satu penganjur ini akan bawa salah satu band popular di Indonesia untuk bergabung dengan Search adakan konsert di Indonesia. Manakala lagi satu pula akan buat konsert Search secara solo," katanya kepada Harian Metro. Menurutnya, dari semakan yang dibuat, penganjur terbabit adalah antara pemain terbesar dalam industri muzik Indonesia. "Mereka banyak anjurkan konsert antarabangsa dan rekod mereka pun baik. Namun, kalau ikutkan perancangan untuk tahun ini sahaja sebenarnya kami nak buat konsert jelajah dalam Malaysia. "Mungkin kami akan buat konsert di Indonesia pada Januari hingga Mac tahun depan. Sebelum itu kami akan umumkan mengenai konsert jelajah di Malaysia secara langsung di Facebook jam 9 malam esok. "Semalam pun kami dapat panggilan daripada sebuah syarikat antarabangsa yang bawa masuk band luar ke Singapura. Mungkin tahun ini jadual kami untuk buat konsert di Malaysia dan Singapura," katanya. Bercerita lanjut, Mozylir berkata, Denden kini pulang ke Bandung untuk menyiapkan single solo, selain lagu untuk single baru Search. "Insya-Allah dia akan hasilkan dua atau tiga lagu bergabung dengan Noordin dan Kid. Selain ke Indonesia untuk berbincang berkenaan konsert, kami juga akan kumpul bahan di sana untuk single baru Search. "Alhamdulillah, setakat hari ini kami terima banyak panggilan, mesej dan WhatsApp ucapan tahniah daripada peminat dan rakan-rakan rapat. Mereka nak kami adakan konsert lagi dalam masa terdekat. Malam tadi saya berbincang dengan Noordin dan kami buat keputusan penutup konsert jelajah Malaysia akan dibuat di sebuah lokasi besar yang boleh memuatkan sekitar 40,000 penonton," katanya. Menurutnya, tiket dikenakan juga berpatutan atau mampu milik bagi membolehkan ramai peminat datang menonton. Selain Noordin, Kid dan Denden, Search turut dianggotai Yan (bass) dan Minn (dram). Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT