Cukup terkenal dengan watak Jai dalam naskhah KL Gangster arahan Syamsul Yusof, kali ini pelakon kelahiran Singapura iaitu Adi Putra kembali memeriahkan industri perfileman tempatan dengan tampil memegang watak utama menerusi filem biopik, Mat Kilau.
Memetik laporan mStar, sebelum bersetuju melakonkan karakter berkenaan, Adi Putra menolak tawaran tersebut sebanyak dua kali, namun akhirnya akur menerima pelawaan Syamsul selepas melihat kesungguhan pengarah itu selain mahu mencabar diri mengangkat nama tokoh terkenal tersebut.
"Sudah dua kali saya tolak untuk berlakon filem ini tetapi saya terima kerana memikirkan ini adalah satu cabaran untuk mengangkat nama besar Mat Kilau. Terima kasih kepada Syamsul kerana memberikan peluang.
"Saya sendiri tidak tahu kenapa dia begitu mahukan saya untuk berlakon. Cuma, dia pernah katakan saya sesuai untuk watak ini," katanya.
Mengulas mengenai filem berkenaan, Adi berkata dia inginkan sebuah karya yang dapat memberikan pengajaran kepada generasi muda mengenai erti perjuangan serta tokoh besar negara selain nilai persahabatan yang dipaparkan.
"Menerusi filem ini, orang ramia lebih tahu siapa Mat Kilau dan dapat menimba ilmu tentang erti perjuangan serta persahabatan. Ia bukan sekadar filem untuk hiburan.
"Rasanya, generasi sekarang sudah cukup matang dan lebih berintelektual. Mereka akan dapat nilai-nilai baik untuk bangkitkan semnagat jitu," katanya.
Untuk rekod, filem Mat Kilau turut menampilkan pelakon antaranya Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan As'ari, Shaharuddin Thamby, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, A Galak serta pelakon Indonesia, Yayan Ruhian. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My