LONDON: Seorang wanita mengakui dirinya bodoh selepa kehilangan £500,000 (RM2.76 juta) akibat diperdaya oleh dua scammer.
Mangsa yang dikenali sebagai Anne Larkin membuat pengakuan itu selepas bersetuju dengan kritikan pengguna media sosial itu kerana mudah percaya sehingga sanggup melakukan transaksi melibatkan jumlah wang banyak. Memetik laporan Daily Mail, Larkin dari East Yorkshire berkata, dia dilanda kesedihan teramat sangat selepas `kehilangan cinta hidupnya’. Wanita berusia 55 tahun itu diperdaya oleh dua lelaki dalam talian selepas suaminya, Graham meninggal dunia pada November 2019.
Larkin yang juga bekas konstabel polis berkata, salah seorang lelaki itu menyamar sebagai pelakon Hollywood, Gerard Butler di Facebook dan memintanya menyumbang wang untuk membiayai gelandangan. Ketika mengimbas kembali kejadian itu, Larkin mengakui perbuatannya tidak masuk akal namun dia menyalahkan kesilapan dilakukannya disebabkan kesedihan dialami selepas kematian suaminya. Bagaimanapun, pengguna media sosial mengkritik tindakan Larkin sebagai bodoh kerana mudah percaya orang tidak dikenali terutamanya individu yang berpura-pura menjadi pelakon terkenal. Menurut Larkin, dia mendapat wang insuran sebanyak 1.27 juta pound (RM7.02 juta) selepas kematian suaminya akibat kegagalan fungsi hati dan buah pinggang. Katanya, dia beralih ke media sosial bagi mengatasi rasa kesunyian selepas kematian suaminya dan ketika pandemik Covid-19. Jelas Larkin, pada mulanya, dia berkenalan dengan seorang lelaki bernama `Clinton’ dalam media sosial yang mendakwa merupakan tentera di New Jersey. Katanya, lelaki itu meminta wang agar dia boleh melawat anaknya yang berada di sekolah tentera. “Kemudian, seorang lagi lelaki yang hanya dikenali sebagai `G’ menghubungi saya. Dia mendakwa merupakan pelakon Gerard Butler. “Selepas itu, kami kerap menghantar mesej dalam talian dan lelaki itu meminta saya wang untuk membina rumah bagi gelandangan,” katanya. Kedua-dua lelaki itu yang dipercayai merupakan sebahagian kumpulan jenayah terancang, memperdaya Larkin sehingga mangsa kehilangan wang sebanyak £500,000 (RM2.76 juta). -CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT