Putih mata Fify Azmi apabila duit sebanyak RM15,000 disonglap pembantu peribadinya. Fify atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mohammad Azmi, 32, mendedahkan wang itu adalah bayaran 50 peratus daripada jumlah keseluruhan filem Special Airforce Anarchy.
Katanya menerusi hantaran di Instagram Story, ia dimasukkan ke akaun wanita berkenaan tanpa pengetahuannya. "Saya tidak boleh terima dengan perbuatan menipu yang dia lakukan. Dia secara senyap meminta pihak akaun Skop masukkan duit ke akaun bank miliknya tanpa pengetahuan saya.
"Kalau boleh saya tidak mahu perbesarkan hal ini sehingga buat laporan polis, tetapi jumlah tersebut agak besar dan saya mahu memberi peringatan kepada orang lain supaya lebih berhati-hati. "Sebelum ini saya pernah diberitahu tentang sikap Nora, namun tidak ambil peduli kerana dia baik dengan saya dan anggap mungkin dia sudah berubah," katanya kepada mStar ketika dihubungi pada Selasa. Fify yang melaporkan mengenai kejadian memaklumkan kes itu kini dalam siasatan polis. Tambahnya, Skop Production juga berang ditipu, justeru mereka memberi kerjasama baik berhubung kes ini. Bagaimanapun, Skop Production tidak dapat membuat pembayaran semula kepada Fify kerana pihaknya tiada peruntukan mencukupi. "Mereka sama turun sekali membuat laporan berhubung kes ini. Mereka memberi kerjasama baik dan berharap kes ini tidak menjejaskan saya di lokasi penggambaran. "Buat masa sekarang pihak polis masih dalam siasatan. Saya ada berhubung dengan Nora dan dia maklumkan tiada duit untuk membayar semula. Jadi semuanya saya serahkan kepada polis," ujarnya. Siti Norawati, tunggulah nasib kamu! - CARI
|
ADVERTISEMENT