Sejak video anaknya bercumbuan tersebar, Ridhuan Tee memilih untuk mendiamkan diri. Namun kini dia bersuara dan menyatakan apa yang berlaku adalah satu ujian buat dirinya dan anak, Syafi Tee.
"Sedangkan Nabi Nuh pun tidak mahu menyelamatkan anaknya, inikan pula diri saya, hamba Allah yang hina. Tetapi saya sudah melakukan yang terbaik untuk semua enam orang anak saya. Selebihnya saya berserah... saya pasrah. "Syafi, anak kedua ini lebih meminati bidang seni setelah tamat belajar. Sebagai bapa saya telah menasihatinya tentang dunia seni yang telah saya ceburi semenjak memeluk Islam lebih 30 tahun dahulu. Cuma bezanya seni saya adalah seni artis ilmuan, manakala anak memilih seni artis hiburan.
"Saya tidak melarang, cuma mengingatkan agar pandai membawa diri. Pastikan seni dapat mendidik anak bangsa. Titipan demi titipan. Namun, apakan daya Allah mahu menguji hamba-Nya yang kerdil ini,"katanya seperti dipetik di mStar Online. Tambah Ridhuan lagi, apa yang berlaku tidak akan membuatkannya berhenti untuk menegur mana-mana artis yang melakukan kesalahan.
"Ambil iktibar apa yang berlaku di Indonesia, ada segelintir ulama dan ilmuan berdiam diri, tidak menegur kehidupan artis, akhirnya ramai artis tersasar. Apakah kita mahu itu juga berlaku kepada artis-artis kita? "Kejadian ini tidak akan menjadikan saya berdiam diri. Sesiapa sahaja yang buat mungkar, akan saya tegur meskipun berada dalam keluarga saya sendiri. Teguran saya tidak hanya kepada artis, tetapi semua orang, tidak kira siapa.
"Kehidupan ini adalah ujian. Jangan kerana ujian ini, menjadikan kita kecewa dan alpa akan tanggungjawab kita sebenarnya." Untuk info, Ridhuan pernah menegur isu kontroversi melibatkan video aksi panas pelakon Zul Ariffin dan gambar Yazmin Aziz berpelukan dengan Danial Chuer. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|