Sekian lama tidak muncul di kaca televisyen seakan-akan memberi bayangan pelakon, Siti Fazurina, 39, sudah meletakkan titik noktah pada kerjaya lakonannya.
Bagaimanapun, pelakon yang pernah menempa populariti menerusi drama Puteri dan Dunia Anita itu tidak menafikan dirinya menyepi daripada dunia lakonan selepas mendirikan rumah tangga pada 2012. Siti Fazurina atau lebih mesra disapa Nina berkata, dia hanya aktif berlakon semula selepas menerima banyak tawaran drama yang bagus, sejak awal tahun ini. "Selepas menjayakan drama Puteri, saya mencipta kejayaan menerusi drama Dunia Anita. Saya tidak putus-putus berlakon sehingga berusia 30 tahun.
"Kemudiannya, saya memperlahankan kerjaya lakonan disebabkan mahu memberi tumpuan kepada rumah tangga. Agak lama juga saya menyepi, dalam tempoh tujuh tahun tidak berlakon. "Namun, saya perlahan-lahan aktif berlakon semula sejak dua tahun lalu. Tawaran lakonan semakin bertambah apabila saya menjayakan drama Puteri Reunion bersama pelakon asal sitkom Puteri yang pernah memperkenalkan saya dalam bidang lakonan," katanya kepada BH Online.
Nina atau nama sebenarnya, Siti Fazurina Mohd Famir berkata, awalnya, dia aktif dengan dunia pengacaraan apabila diberi peluang oleh TV AlHijrah. "Namun, saya dapat tawaran watak menyeronokkan, sejak akhir-akhir ini. Jadi, saya memutuskan untuk aktif berlakon semula. "Alhamdulillah, saya tidak putus memperoleh tawaran lakonan, sejak awal tahun ini. Insya-Allah, saya hanya berehat seketika pada Aidilfitri, kemudiannya memulakan penggambaran drama baharu," katanya. Nina percaya ia juga rezeki untuknya kembali mewarnai dunia lakonan.
"Mungkin sebab saya sudah berehat lama dan kini, sudah tiba masanya saya bekerja dan mewarnai semula industri lakonan," katanya. Sempena Syawal, Nina muncul menerusi drama empat episod, Puteri Reunion di TV3 dan Misi Anak Bulan di TV9. Mengulas dakwaan segelintir pelakon sukar kembali menerima tawaran dari TV3 selepas sekian lama menyepikan diri, Nina pantas menyangkalnya.
Bagi Nina, dia tetap menerima tawaran TV3 biarpun pernah tenggelam timbul dalam industri hiburan. Nina percaya, ia bukanlah suatu perkara yang sukar sekiranya seseorang pelakon berbakat. Ini kerana bakat dan rezeki mengatasi segala-galanya. "Apabila menerima tawaran TV3, bermakna dakwaan ini tidak betul. Saya lihat stesen TV3 memberi peluang kepada sesiapa sahaja, terutamanya yang dahulu pernah naik bersama TV3. "Apapun, saya percaya bakat lebih penting. Jika berbakat, tawaran akan sentiasa ada, walaupun sudah menyepi selama 10 atau 20 tahun. "Jika ada watak yang bersesuaian dengan usia, pastinya TV3 akan panggil.
"Seperti saya, faktor usia tidak memberikan masalah. Jika mahu diikutkan seperti drama Misi Anak Bulan, bukan saya sahaja, malah, ada pelakon lain seperti Ezad Lazim. "Kami bukanlah dalam usia 20-an, tetapi pembawaan watak dalam drama itu sendiri bersesuaian dengan kami. Jadi, kami terbuka menjayakan watak diberikan sebaik mungkin," katanya. Justeru, Nina merasakan sekiranya ada watak bersesuaian, usia bukanlah satu kekangan. Nasihatnya, jangan mudah berputus asa dan terus berusaha.
"Buat pelakon yang sudah lama tidak berlakon ataupun artis baharu mahu mengetengahkan bakat sebagai pelakon, jangan mudah mengalah dan beranggapan tiada tawaran. "Bagi saya, populariti akan datang sendiri jika berbakat. Jangan risau, tawaran tetap ada, namun, jika tiada bermakna rezeki belum sampai. "Sebagai pelakon, kita kena sentiasa gali ilmu dengan guru. Apabila belajar, setiap watak diberikan pasti dapat dipersembahkan dengan baik," katanya yang pernah tampil menerusi drama bersiri pertama terbitan TV AlHijrah berjudul Boss... Mama Kirim Salam.-CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|