Meraih kejayaan bermakna apabila memenangi gelaran naib juara di pentas Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) menerusi lagu Cinta, penyanyi Marsha Milan Londoh mengakui agak tertekan mencari material setanding karya sebelum ini. Kata penyanyi berusia 37 tahun itu, mencari serta memilih sesebuah karya yang mampu menambat hati peminat lagu tempatan bukanlah perkara mudah. Baginya, dia perlu bergerak maju selangkah ke hadapan daripada arasnya ketika ini atau setidak-tidaknya mengekalkan pencapaiannya. "Saya ada hala tuju sendiri dalam muzik dan tidak mahu lari jauh dari lagu Cinta kerana itu adalah pilihan saya. Saya bukan hanya risau untuk mencapai aras pencapaian sendiri, tetapi juga takut dengan pandangan orang terhadap lagu yang bakal saya keluarkan nanti.
"Hal ini menyebabkan saya agak memilih dan tak ambil mudah dalam mencari material baharu. Saya akan kumpul beberapa buah lagu dan barulah membuat pilihan," katanya kepada mStar. Dalam pada itu, Marsha juga berkongsi perjalanan kariernya yang semakin padat kerana sering menerima undangan menyanyi dan tawaran berlakon. Tidak mempunyai pengurus yang dapat membantu menyusun jadualnya, anak jati Sabah itu berhadapan kesukaran untuk mengimbangi jadual kerna serta urusan peribadinya. "Selepas AJL36, saya dapat rasakan ada peningkatan dalam karier. Ia membuktikan segala usaha keras selama ini berbaloi.
"Bagaimanapun, saya menghadapi masalah menguruskan kerjaya termasuk mengimbangi kehidupan peribadi sebab saya lakukan semuanya sendiri. "Suami selalu pesan agar sentiasa jaga waktu dan tahu masa untuk pulang ke rumah selepas bekerja," katanya. Untuk rekod, Marsha mendirikan rumah tangga dengan Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada 31 Disember 2015. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|