Kebiasaannya, tulisan cakar ayam sering dikaitkan dengan kerjaya doktor. Namun, seakan-akan 'memecah tradisi' perkongsian mahasiswa jurusan perundangan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam di Selangor menerusi sebuah video di TikTok mengejutkan ramai.
Malah, disebabkan dia suka menulis dengan cepat seperti robot, rakan-rakan semasa berada di bangku sekolah rendah menggelarnya sebagai Terminator. Berkongsi cerita kepada mStar, Khairiah Abdul Malik berkata, tulisan tangannya semakin sukar dibaca ketika dia berada di sekolah menengah.
"Semasa sekolah rendah, huruf yang ditulis masih gemuk dan apabila meningkat usia tulisan pun tiba-tiba jadi semakin kurus. "Disebabkan itu, sejak sekolah menengah cikgu selalu pesan supaya saya menulis dengan baik terutama sekali semasa menjawab soalan peperiksaan. "Jadi semasa menduduki peperiksaan, saya akan berusaha membulatkan setiap abjad yang ditulis," jelas anak ketiga daripada empat beradik. Terdahulu perkongsian Khairiah tentang tulisan tangannya tular dan menarik perhatian ramai di TikTok. Ia susulan penerangan pada video tersebut seakan merungut apabila pensyarahnya didakwa akan menggagalkannya gara-gara mempunyai tulisan yang buruk ketika menjawab soalan peperiksaan. Khairiah turut berkongsi contoh tulisan tangannya pada video tersebut. Susulan itu netizen meninggalkan komen yang rata-rata berpihak kepada pensyarah gadis berkenaan apabila mereka turut bersetuju tulisannya sukar dibaca. Kata netizen mereka juga akan melakukan perkara sama jika berdepan situasi tersebut. Bagaimanapun ujar Khairiah, dia tidak menyangka ramai yang salah faham dengan menyifatkan dia cuba menyalahkan tenaga pengajar tersebut. "Saya sedar itu adalah kesalahan saya sendiri dan memerlukan sedikit masa untuk membaikinya," luahnya. Mengimbas kembali tentang bentuk tulisannya itu, anak jati Selangor ini memberitahu dia pernah ditegur semasa berada di tahun pertama pengajian. Lagi membimbangkan apabila pensyarah pernah memberi amaran supaya dia membaiki tulisan tangan bagi mengelakkan keputusan peperiksaannya gagal. "Pensyarah bagi amaran sebab dia sudah berusia dan sukar untuk membaca tulisan saya yang halus. Selalunya semasa ujian di dalam kelas, nama saya pasti akan dipanggil ketika dia menanda kertas jawapan. "Dia juga pernah nyatakan sukar untuk memberi markah peperiksaan kerana tidak dapat membaca dan memahami tulisan tangan saya. "Pada awal waktu ujian memang saya akan berusaha sebolehnya membulatkan huruf tetapi apabila masa hampir tamat, ia automatik bertukar kepada asal," luahnya. Mengakui pernah migrain apabila melihat tulisan tangan sendiri dari jarak jauh, dia kini kembali membuat latihan tangan bagi membaiki tulisan. "Saya pernah buat latihan dan sebenarnya selepas ditegur pada tahun pertama, saya dah ubah tapi disebabkan kelas dalam talian selama dua tahun, jadi rentak menulis tu dah tak ingat," katanya. Tambahnya, semasa mengikuti latihan industri baru-baru ini, dia bersyukur kerana tidak perlu banyak menulis di atas kertas sebaliknya maklumat yang diperoleh akan dimasukkan terus ke dalam perisian komputer. Dokumen berkaitan mahkamah pula akan dicetak. "Tapi walau bagaimanapun, saya perlu baiki tulisan tangan kerana akan datang perlu mengisi borang untuk client," katanya. Sumber: mStar
|
kakigojes replied at 20-5-2022 01:31 PM
Law kat uitm belajar BM ke English? I selalu confuse, kalau belajar BM, dalam court Malaysia pakai B ...
nuryakmal replied at 20-5-2022 05:08 PM
kat court pakai bahasa melayu. kalau nak guna english kena mintak kebenaran. tapi jarang lah...
...
Artemesiaa replied at 17-5-2022 09:51 AM
Ramai tak tahu tulisan pun boleh bantu bagi markah tinggi atau rendah oleh itu tulislah dengan tulis ...
ADVERTISEMENT