Sebut sahaja nama usahawan kosmetik Safiey Illias, antara momen yang menjadi sebutan adalah keadaan dirinya berpenampilan seperti wanita sedangkan dia dilahirkan sebagai lelaki serta penghijrahannya kembali ke pangkal jalan suatu ketika dahulu.
Pun begitu, bukan mudah bagi seseorang untuk terus istiqamah. Selepas Safiey berusaha kembali pada fitrah asalnya, dia bagaimanapun terus diuji yang akhirnya ahli perniagaan itu memilih untuk menyarungkan pakaian wanita.
Tiga hari lalu, penyanyi lagu Syinta Gila itu menerusi Instagram berkongsi keadaan kesihatan dirinya yang bertambah kronik dan membimbangkan dalam kalangan doktor yang merawat dirinya selama ini.
Katanya, tahap kesihatan mentalnya tidak berada di tahap baik menyebabkan dia dinasihatkan untuk masuk ke pusat rehabilitasi selama tiga hingga enam bulan sehingga dirinya benar-benar pulih.
"Saya dipantau oleh doktor psikiatri, Dr Hazli dan Yeoh, Pakai Doktor Mental. Saya juga mungkin akan menyerahkan urusan bisnes kepada adik dan ayah saya sepanjang dalam proses saya berehat dan dirawat.
"Doakan saya semua. Maafkan saya jika kecewakan korang. Berikan saya peluang selepas saya berjaya memulihkan jiwa dan raga saya.
"Ampunkan saya mak ayah. Apit banyak kecewakan ayah. Berikan Apit peluang terakhir tebus salah Apit. Ampunkan aku Ya Allah," tulisnya.
Dalam pada itu, Safiey turut mengambil kesempatan tersebut untuk memohon kemaafan terhadap individu yang mungkin disakitinya tanpa sengaja.
Dia juga memaklumkan akan menyelesaikan segala urusan terutama membabitkan pelanggan dan menyelesaikan perkara itu dalam kadar segera.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata ramai netizen yang tidak percaya dengan perkongsiannya itu. Mereka menganggap ia hanyalah rekaan semata-mata untuk menagih simpati selain menyifatkan perkara itu sebagai salah satu teknik marketing.
Drama atau sungguh-sungguh ni? - CARI