Penyanyi berketurunan Melayu-Filipina, Yazmin Aziz mengakui terkejut apabila menerima kecaman gara-gara dia dan dua lagi rakannya iaitu Aishah Retno dan Daniel Chuer meniru cara dan gaya percakapan juri Big Stage 2022.
Gempak yang sempat menemu bual Yazmin mengenai perkara itu melaporkan, mereka sama sekali tidak berniat untuk menyindir sesiapa termasuklah juri program realiti berkenaan. Katanya, rakaman berkenaan dibuat untuk suka-suka sahaja.
"Saya tak dapat hadam isu itu yang kata kami perli orang. Aishah, Danial dan saya geram... Kalau lihat balik video itu pun, tiada apa pun yang kami lakukan seperti tuduhan netizen.
"Kami buat apa yang kami lihat. Kami hanya impersonate mereka. Come on lah... Perkara itu tak perlu jadikan isu besar. Kami sayang juri-juri Big Stage," katanya.
Selepas selesai pertandingan itu, Yazmin mengakui situasi yang dihadapinya tidak sama seperti sebelum ini. Kali ini, lebih banyak yang memerhatikannya dan setiap hal yang dikongsikan di media sosial bila-bila masa sahaja akan menjadi bahan perbualan.
Hal tersebut membuatkan gadis berusia 21 tahun itu akan lebih berhati-hati apabila memuat naik gambar atau video mahu pun berkongsi sesebuah perkara di media sosial kerana bimbang disalah ertikan oleh segelintir pihak.
"Saya terkejut. Tiba-tiba apa yang saya kongsikan itu berikan impak. Dulu pun ada tapi tidaklah segila sekarang ini.
"Saya belajar jadi lebih berhati-hati untuk kongsikan apa jua perkara bagi mengelakkan ada pihak yang terasa," katanya. - CARI