Rakaman detik cemas dua penumpang terpaksa memegang pintu pesawat yang terbuka hampir 20 minit tular di media sosial.
Insiden di Brazil itu menunjukkan dua lelaki memegang pintu sambil rakan penumpang lain yang ketakutan memandang ke luar tingkap. Portal Metro UK melaporkan mereka berpaut di pintu itu selama 20 minit sehingga pesawat mendarat dengan selamat. Laporan menyatakan kabel sokongan patah menjadi penyebab kemalangan mengejutkan itu. Pesawat jenis Embraer 110 Bandeirante kebiasaannya boleh membawa antara 15 dan 21 penumpang.
Pesawat itu berlepas jam 12.30 tengah hari dengan 12 penumpang dari perbandaran Jordao ke Rio Branco, di utara Brazil, Selasa lalu. Beberapa penumpang melaporkan mendengar bunyi 'pelik' selepas pesawat berlepas. Tidak lama kemudian pintu di bahagian kiri pesawat tiba-tiba terbuka dan tercabut menyebabkan udara memasuki pesawat. Pemegang pintu terhayun ke kipas pada enjin di kiri pesawat. Dua lelaki dilihat dapat memegang pintu itu dan menutupnya. Sementara itu, juruterbang pesawat itu menyahaktifkan enjin terbabit sebagai langkah berjaga-jaga. Dia berjaya memandu pesawat ke pendaratan yang selamat. Tiada kecederaan dilaporkan di atas kapal. Seorang penumpang, yang tidak mahu namanya disebut memberitahu Gessta: "Saya rasa mereka menahan pintu selama 20 minit." Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT