Penyanyi berusia 24 tahun itu tidak menafikan bahawa masa yang diluangkan bersama arwah abangnya agak singkat kerana Allahyarham Achik meninggal dunia ketika Tajul masih kecil.
Malahan, pada ketika itu, arwah jarang pulang ke rumah kerana sibuk dengan jadual seninya yang boleh dikatakan agak padat.
Bagaimanapun, pemergian Achik tetap memberikan impak besar buat Tajul. Ketiadaannya sehingga kini masih terasa.
"Ketika saya masih kecil, saya memang rapat dengannya. Cuma masa saya darjah tiga atau empat, kami jarang dapat luangkan masa bersama-sama, jarang dapat jumpa.
"Dia sibuk bekerja jadi arwah jarang balik rumah. Selalunya akan dapat jumpa masa bulan puasa atau raya sahaja," katanya yang berkongsi perkara itu di Majlis Berbuka Puasa FMC baru-baru ini.
Terdahulu, Achik yang juga vokalis kumpulan Spin meninggal dunia pada 17 April 2010 dalam satu kemalangan jalan raya di KM 14 Lebuh Raya Kajang Seremban.
Achik meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian anggota badannya. -CARI