Beberapa hari lepas, sebuah rakaman tular di TikTok memaparkan seorang pelanggan lelaki yang membeli 13 pasang baju Melayu Wak Doyok berang apabila menerima warna dan saiz yang salah.
Lelaki terbabit turut mendakwa staf yang menguruskan pembelian pelanggan bersikap kurang ajar menyebabkan bara kemarahannya bertambah marak.
Menerusi video terbabit, pelanggan itu terpaksa meluahkan ketidakpuasan hatinya menerusi TikTok kerana ketika wakil jualan produk dihubungi, dia tidak mendapat maklum balas yang diharapkan.
Pun begitu, pempengaruh dan ikon fesyen Mohd Azwan Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai Wak Doyok berharap mana-mana pelanggan yang tidak berpuas hati selepas membeli baju Melayu jenamanya agar bertindak dengan waras tanpa perlu menularkan hal tersebut di media sosial.
Memetik laporan Gempak, figura berusia 43 tahun itu berkata, pelanggan sepatutnya bijak dalam urusan jual beli bagi mengelakkan timbul isu tidak diingini pada kemudian hari.
"Adakalanya pelanggan beli baju tanpa tahu ukuran badan sendiri. Saya sudah berikan ukuran bagi setiap saiz tapi dia tak ukur saiz sendiri pun mungkin dia anggap ukuran baju kemeja dan baju Melayu sama sahaja.
"Apabila beli baju fitted, jadilah begitu. Bila hubungi HQ pula, kena tunggu giliran sebab terlalu banyak mesej yang masuk. Sekiranya ada apa-apa yang dia tak puas hati, datang sendiri ke HQ dan bukan tularkan," katanya.
Walaupun video berbaur negatif itu tular di TikTok, Wak Doyok mengakui impak daripada perkara tersebut menyebabkan jumlah jualan baju Melayunya meningkat naik.
"Melihat dari sudut positif, kedua-dua pihak ada keuntungan. Untuk saya, jualan naik. Mesej tak henti-henti masuk di Whatsapp.
"Untuk dia pula, jumlah pengikut meningkat. Sebelum ini 19,000 tetapi selepas video itu tular sekarang followers sudah naik ke 30,000. Engagement dia tinggi. TikTok dia dari vide 10,000 dah jadi 3 juta views.
"Dia menang, dia pun berniaga. Tak perlu nak gaduh-gaduh. Bulan baik biar selesaikan dengan baik. Sekarang ini kalau nak bergaduh mesti semua guna media sosial," katanya. -CARI