"Walaupun dikecam, ramai juga oeminat yang berikan sokongan. Ia menjadi sebab untuk saya terus berusaha dakam bidang seni tanpa rasa bosan dan penat. Tambahan pula, saya meminati bidang ini dan tidak akan berhenti memberikan yang terbaik," katanya kepada Media Hiburan.
Kelly yang seolah-olah sudah kalis kritikan negatif itu turut mendedahkan dia bakal tampil dengan lagu keempat berganding dengan tiga orang penyanyi baharu. Dia mengakui teruja menyanyikan lagu tersebut kerana karya itu dicipta oleh komposer Sharon Paul.
Bercerita mengenai lagu Nikmat Di Hari Raya, kata Kelly, lagu tersebut sepatutnya dilancarkan pada tahun lalu bagaimanapun situasi pandemik menyebabkan karya itu terpaksa disimpan terlebih dahulu sebelum direalisasikan pada tahun ini.
Katanya, idea untuk menghasilkan lagu berkenaan hadir spontan bersama Isma. Walaupun berhadapan dengan rintangan, Kelly bersyukur kerana lagu itu akhirnya dapat diperdengarkan kepada umum pada tahun ini.
"Lagu ini mengisahkan nikmat untuk pulang menyambut lebaran bersama keluarga dan rakan-rakan apatah lagi sudah dua tahun kita tidak dapat meraikannya dengan meriah kerana Covid-19. Saya berharap lagu ini mendapat sambutan baik.
"Kami bekerjasama dengan Sony Music dan lagu itu dapat didengari menerusi platform penstriman digital sejak 15 April lalu dan berada di saluran YouTube Sony Music pada 30 April nanti," katanya. -CARI