Suatu ketika dahulu, pelakon Hafidz Roshdi antara aktor yang menjadi pilihan penerbit untuk memegang watak utama dalam sesebuah karya sama ada drama atau telefilem.
Pun begitu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namanya seakan sepi dari dunia seni. Apatah lagi dengan kehadiran pelakon baharu, dia seakan tenggelam sedangkan aktor berkenaan pernah mengecap puncak populariti.
Menurut Mstar, pemilik nama sebenar Muhammad Hafidz Roshdi itu sama sekali tidak kisah walaupun hanya diberikan watak pembantu. Pemuda berusia 28 tahun itu tetap bersyukur rezeki dalam bidang lakonan masih ada.
Bagi Hafidz, dia seronok memegang melakonkan watak pembantu kerana berpeluang untuk meneroka dan mencuba pelbagai karakter yang tidak pernah dilakonkan sebelum ini.
"Keutamaan saya pada masa ini bukan lagi menjadi hero drama. Saya bersyukur kerana rezeki untuk berlakon masih ada walau pun hanya sekadar watak sampingan sahaja.
"Watak pembantu pun tetap memberikan cabaran tersendiri. Ia juga memberikan peluang untuk mendalami lebih banyak karakter," katanya.
Tambahnya lagi, mungkin kerana terlalu kerap membawakan watak pembantu membuatkan penonton tidak menyedari kehadirannya dalam industri hingga ada yang beranggapan Hafidz berehat dari dunia seni.
Hakikatnya, banyak drama membabitkannya yang sudah ditayangkan. Dia juga bakal tampil berganding dengan Nad Zainal menerusi drama Harith Fayyadh. - CARI