Rio de Janeiro: Menyusup ke dalam pesawat. Itu yang dilakukan seorang budak lelaki yang menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Manaus di utara Brazil, tanpa tiket, pengenalan diri dan wang.
Metro UK melaporkan Emanuel Marques de Oliveira menaiki penerbangan sejauh 2,698 kilometer seorang diri. Dia ditahan ketika pesawat hendak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Guarulhos di Sao Paulo. Sebelum itu ibunya, Daniele Marques terpinga-pinga dan pasukan mencari dihantar apabila anaknya itu hilang dari bilik tidurnya, pada awal pagi 26 Februari lalu.
Emanuel dipercayai berhasrat melawat bapa saudaranya di Campinas, selepas pernah bercuti di sana bersama ayahnya, pada Januari lalu. Dua kakitangan lapangan terbang dilihat memeriksa dokumen perjalanan penumpang lain ketika Emanuel yang memakai hoodie berjalan melepasi pemeriksaan. Polis Brazil berkata, kanak-kanak itu bertindak sendirian dan terlebih dahulu melakukan pencarian di internet mengenai 'cara menaiki pesawat tanpa disedari'. Dia dipulangkan kepada ibunya yang kemudian memarahinya. "Ibu, saya tidak mahu tinggal di Manaus lagi. Saya mahu ke sana. Di sana, saya akan mendapat apa yang saya mahu," kata kanak-kanak itu kepada ibunya. Wanita itu membalas bahawa tindakan berkenaan tidak lucu dan ia adalah kes serius.-CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT