Motif insiden tikaman seorang kiai yang juga tenaga pengajar sebuah sekolah pondok di Jawa Timur, Indonesia, akhirnya terbongkar dengan penahanan seorang penghuninya.
Hasil siasatan polis, pelaku tersebut mengaku berasa sakit hati kerana beberapa kali ditegur oleh pimpinan pondok Miftahul Hidayah, di wilayah Banyuwangi ekoran selalu berada di asrama penghuni wanita. Lelaki berusia 34 tahun itu berjaya ditahan polis di daerah Gambiran, Banyuwangi pada Jumaat ketika cuba hendak melarikan diri. Menurut seorang pimpinan masyarakat tempatan, pelaku yang juga duda kepada dua orang anak itu mahu melarikan diri ke kampung halamannya di Ogan Komering Ulu selepas menikam Kiai Affandi Musyafa.
Pelaku diketahui baru menjadi penghuni sekolah pondok yang dijaga oleh mangsa sejak 15 hari sebelum kejadian. Polis turut merampas sebilah pisau yang digunakan pelaku untuk menikam mangsa. Akibat perbuatannya itu, pelaku didakwa atas tuduhan cubaan membunuh dan bakal berdepan hukuman penjara 15 tahun. Mangsa yang cedera di dagu dan pinggang akibat ditikam masih dirawat di sebuah hospital. - CARI Sumber: mStar/ Kompas.tv
|
ADVERTISEMENT