Walaupun sedih dengan segala tohmahan yang diterima,keluarga pemandu sebuah kereta Perodua Myvi yang terbabas di sebuah tanah perkuburan semalam, memaafkan semua warganet.
Anak pemandu kereta tersebut, Mohd Syafiq Sidek, 29, berkata, dia tidak mahu memanjangkan lagi perkara itu, namun sekiranya terdapat pihak termasuk media dilihat cuba menabur kebencian, dia akan mengambil tindakan seterusnya dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). “Mengenai netizen dan orang ramai yang komen itu semua, saya seikhlas hati memaafkan semuanya, mereka tiada dosa dengan kami,” katanya ketika dihubungi hari ini. Semalam, Utusan Online melaporkan, seorang wanita yang memandu kereta Perodua Myvi pitam sehingga terbabas memasuki Tanah Perkuburan Islam Forest Height di Senawang Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kemalangan itu berlaku pada pukul 10 pagi selepas wanita berusia 60 tahun itu selesai menziarahi kubur suaminya. Jelas beliau, ketika hendak bergerak keluar dari tanah perkuburan tersebut, pemandu Perodua Myvi itu mengalami kekurangan gula dalam darah sebelum pitam. Sementara itu, Mohd Syafiq turut mengakui dia dan keluarga termasuk ibunya agak sedih dengan kecaman yang diterima susulan kejadian yang berlaku. “Kami sekeluarga melalui peristiwa yang sukar pada tahun lalu apabila kehilangan bapa akibat Covid-19, kemudian ibu saya mahu kutip semula kekuatan tersebut namun diuji lagi dengan kemalangan begini. “Kemalangan ini perkara biasa, benda kecil sahaja dan ia telah diselesaikan, cuma kata-kata cacian, makian di media sosial dan dikongsi banyak kali, itu yang buat kami jadi sedih,” katanya. Menurutnya, ibunya tidak mengalami sebarang kecederaan, namun masih dalam keadaan bersedih, tertekan dan terkejut ekoran kejadian berkenaan. “Sudah menjadi rutin ibu sejak bulan Januari lalu iaitu selepas habis idah, dia menziarah kubur arwah bapa. “Ketika kejadian, ibu datang seorang dan sudah mahu pulang, tetapi entah bagaimana dia pitam dan selepas sedar, kereta sudah berada di atas kubur,” katanya yang turut memberitahu isu ganti rugi kepada waris kubur yang mengalami kerosakan telah diselesaikan. Sumber: UTUSAN ONLINE
|
“Kemalangan ini perkara biasa, benda kecil sahaja dan ia telah diselesaikan
ADVERTISEMENT