Ipoh: Seorang wanita menitiskan air mata kesedihan apabila majikan yang tidak membayar gajinya sebagai pekerja di sebuah kilang kosmetik di Jelapang di sini memintanya memberhentikan anak-anaknya daripada bersekolah.
Wanita itu, M. Krishnaveni, 57, yang sudah bekerja selama 17 tahun di kilang itu berkata, dia kecewa terhadap respons majikannya itu ketika dia menuntut gajinya. Menurutnya, dia dan beberapa pekerja lain di kilang itu sudah lapan bulan tidak menerima gaji. “Sudah lapan bulan berturut-turut syarikat tidak membayar gaji saya. Saya ada dua anak yang perlu ditanggung dan masih belajar.
“Apabila saya meminta gaji yang sudah lama tertunggak dan bercerita tentang tanggungan saya, mereka mencadangkan supaya anak saya berhenti belajar dan bekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. Menurutnya, dia tidak akan membiarkan anak-anaknya berhenti sekolah kerana mereka sangat berdedikasi dan bijak pelajaran. “Anak-anak saya bijak, tak mungkin saya hendak menyuruh mereka berhenti belajar kerana mereka akan mengubah nasib keluarga,” katanya. Krishnaveni berkata, dia juga terpaksa membantu suaminya untuk membayar sewa rumah RM660 sebulan dan melunaskan pinjaman bank. Katanya, suaminya sering sakit menyebabkan dia perlu membantu suaminya bekerja untuk mereka sekeluarga. “Sebelum ini syarikat membayar gaji kami secara tidak konsisten dan selalu lambat,” katanya. Krishnaveni yang bekerja di situ sejak kilang itu dibuka berkata, apabila pekerja bertanya soal gaji, majikan tidak mahu menjawab tetapi apabila soal kerja, banyak tugas yang diberikan. Katanya, dia tetap bekerja di syarikat itu kerana masih menunggu gajinya yang belum dibayar. “Selama ini kami masih bertahan kerana ada duit bantuan daripada kerajaan seperti i-Sinar dan i-Lestari tetapi sekarang duit simpanan sudah berkurang,” katanya. Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat yang juga bekas Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, pihaknya akan membela nasib enam pekerja kilang tersebut. “Saya akan membantu mereka secara pro bono dari segi undang-undang untuk menyelesaikan kes ini. Paling mustahak, kes ini perlu dipercepatkan kerana khuatir pemilik kilang lari,” katanya. -CARI Sumber: Utusan Online
|
musangbodoh: tahniah dan syabas...kilang yg ...
ADVERTISEMENT