Jakarta: Sindiket menjual dan membeli tilam dan bilik berjaya dikesan di dua penjara iaitu Penjara Cipinang Kelas 1, Jakarta Timur dan Penjara Tangerang Kelas 1.
Lapor Kompas.com, banduan di kedua-dua penjara itu mengaku mereka perlu mengeluarkan wang bagi mendapatkan bilik tersebut dari pihak sindiket. Jumlah wang yang dikeluarkan malah mencecah jutaan rupiah. Kes jual beli tempat tidur banduan itu sudah berlarutan sejak sekian lama dan menjadi ‘pendapatan sampingan’ bagi pegawai penjara. Aktiviti tersebut berjaya didedahkan selepas seorang banduan di Penjara Cipinang dikenali sebagai WC membuat pengakuan tersebut.
Katanya, dia dan rakan banduan lain perlu membayar 30,000 rupiah (RM8.80) seminggu untuk tidur beralaskan kadbod. Sejak itu, gambar beberapa banduan tidur beralaskan kadbod tersebar dan muncul dalam berita. “Jumlahnya bergantung kepada tempat tidur yang dibeli. Kalau tidur di lorong dengan kadbod jumlahnya adalah 30,000 rupiah seminggu. Istilahnya adalah beli tempat,” katanya. WC berkata, sekiranya banduan ingin tidur di tempat yang lebih mahal, harganya adalah lima hingga 25 juta rupiah (RM1,500- RM7,300) sebulan. “Kebiasaannya yang dapat bilik adalah pengedar dadah. Kemudian, wang tersebut akan diserahkan kepada warden penjara. “Suka atau tidak, kita perlu bayar untuk tidur. Jadi, banduan perlu minta duit dari keluarga di luar. Susah kalau ada banduan yang tiada duit. Sebab itu, pengedar dadah adalah banduan yang paling mewah dalam penjara,” jelasnya. Selain itu, WC berkata, banduan juga boleh memiliki telefon bimbit asalkan mereka membayar amaun tertentu kepada pegawai penjara. Jumlahnya antara 1.5 juta hingga dua juta rupiah (RM440- RM580). Dalam pada itu, pembongkaran tersebut dinafikan oleh Ketua DKI Jakarta Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi, Ibnu Chuldun. Beliau menafikan ada banduan yang terpaksa tidur beralaskan kadbod kerana semua banduan sudah disediakan tilam masing-masing. -CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT