Seorang lelaki dari Skegness, England, berhasrat untuk menjual sebuah kawasan pantai miliknya pada harga £50,000 (RM283,298), lapor akhbar Mirror UK, kelmarin.
Simon Adderley, 57, menjadi pemilik pantai di Ingoldmells selama 15 tahun dan kini, mahu menjualnya kepada pemilik baharu. Menurut Adderley, sejak pantai itu mula diiklankan untuk dijual, dia telah menerima 750 pertanyaan daripada orang ramai dengan 250 daripadanya dianggap sebagai pembeli serius. Bagaimanapun, lelaki itu berikrar hanya akan menjual pantai tersebut kepada pembeli yang mempunyai minat mendalam untuk memelihara keindahan alam semula jadi dan pemandangan pantai tersebut.
“Perkara paling menggembirakan adalah ketika saya dapat pergi ke pantai tanpa ada sesiapa pun, serta dapat menikmati pemandangan alam semula jadi dengan tenang. “Perasaan itu adalah benar-benar satu kelebihan. Ia amat istimewa,” ujarnya. Sementara itu, Adderley berkata, sebelum membuat keputusan untuk menjual pantai tersebut kepada pemilik baharu, dia perlu mengetahui niat sebenar bakal pembeli yang ingin membeli kawasan itu. Sumber: Kosmo |
ADVERTISEMENT