Bergiat aktif dengan pertubuhan amal sejak tahun 2020, pelakon Datuk Adi Putra berkata dia menimba banyak pengalaman sepanjang menyertai program misi kemanusiaan itu.
Menurut Adi atau nama sebenar Mohamed Hadi Putera Halim, 41, dia dapat melihat sendiri kesusahan dan kesempitan hidup yang dilalui oleh mereka yang kurang nasib baik. Terbaharu, Adi bersama pertubuhannya iaitu Jai The Legend turun padang membantu mangsa banjir di beberapa daerah di Selangor. "Semasa awal tahun 2020 kami giat membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19, tapi awal tahun ini kami sibuk pula bantu mangsa banjir... tahun ini ujian mereka lebih mencabar kerana terkesan dengan dua bencana dalam masa sama.
"Salah satu pengalaman yang saya tak boleh lupakan membantu satu keluarga yang sangat susah, pasukan saya datang tolong keluarga ni kerana bantuan lain tak sampai. "Satu lagi keluarga ini air banjir dah sampai siling rumah mereka dan kami kena fikir macam mana nak selesaikan hal itu... bayangkan dengan air berlumpur dan mereka terpaksa berlindung di atas rumah, kalau air melebihi bumbung? Saya tak boleh bayangkan keadaan mereka ketika itu," katanya kepada mStar.
|
ADVERTISEMENT