Caprice atau kini mahu dikenali sebagai Daddycap berpendapat trend peningkatan jangkitan baharu harian Covid-19 ketika ini sama seperti keadaan yang berlaku pada tahun lalu.
Ujar Daddycap atau nama sebenarnya Ariz Ramli, situasi peningkatan kes baharu Covid-19 pada tahun lalu juga berlaku ketika umat Islam sedang menghitung hari untuk menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. “Kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat. Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kes jangkitan harian boleh mencecah sebanyak 22,000 kes menjelang bulan Mac depan. “Saya tidak tahu nak cakap apa. Cuma tiap-tiap tahun sebelum puasa dan raya, skripnya berbunyi sama, watak yang sama dan mangsa yang sama. Cuma yang berbeza tahun sahaja,” katanya.
Ujarnya lagi, tahun lalu juga menunjukkan trend apabila kerajaan galak memujuk masyarakat untuk mendapatkan suntikan vaksin, sama seperti situasi pada tahun ini apabila rakyat disaran pula untuk mendapatkan suntikan dos penggalak (booster) “Tahun lepas kita promosi vaksin, tahun ini kita promosi ‘booster’ pula,” jelasnya. Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, pelantun lagu Tiger of Al Quds itu sempat menyeru masyarakat supaya kembali kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amal ibadah serta doa.
“Apabila benda yang kita tidak boleh nampak (Covid-19), boleh buatkan hidup jadi huru-hara, maksudnya kita kena lagi rajin cari semula sesuatu yang kita tidak nampak juga (Allah SWT), tapi mampu buat kita tenang. “Perbanyakkan doa dan ibadah,” katanya. Terdahulu, Kosmo! melaporkan beberapa buah negara di seluruh dunia mula merekodkan peningkatan kes jangkitan harian Covid-19 termasuk Malaysia.
Di Korea Selatan, kes harian Covid-19 dilaporkan melebihi 30,000 buat kali pertama dan mencecah paras tertinggi sepanjang masa iaitu lebih 36,000 kes pada hari Sabtu lalu berikutan penyebaran varian Omicron selepas musim cuti. Tidak ketinggalan juga Malaysia, apabila mencatatkan kes melebihi 7,000 pada 5 Februari lalu selepas empat bulan kes berada bawah angka 7,000.
Hari ini (Isnin), kes jangkitan harian Covid-19 menunjukkan peningkatan ketara dengan angka mencecah 11,034 kes jangkitan. -CARI Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|