Di sebalik pencapaian penyanyi baharu, Iman Troye, gadis berusia 20 tahun itu membuka cerita pernah menjadi mangsa buli ketika dibangku sekolah.
Bagaimanapun, kisah lalu itu tidak menjadi penghalang buat pemilik nama sebenar Siti Nur Iman Alyssa Sahabuddin mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2019 seterusnya mendapat sijil dekan di universiti.
Memetik laporan Astro Gempak, Iman mendedahkan tidak mempunyai ramai kawan ketika masih bergelar pelajar sekolah. Hanya apabila berpindah ke sekolah baharu, Iman kemudian cuba mewujudkan persekitaran positif.
"Zaman persekolahan saya tidak indah. Saya pernah dibuli dan tidak mempunyai ramai kawan. Berpindah ke sekolah baharu, saya nekad untuk berjaya. Dan semua itu berbalik kepada restu ibu bapa," katanya.
Kata penyanyi lagu Nang itu lagi, dalam setiap perkara yang dilakukan pasti berdepan dengan pergelutan.
Bergelar mahasiswi diploma dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menjelaskan, dia berusaha sebaik mungkin untuk membahagikan masa antara pekerjaan dan pelajaran.
"Kegembiraan itu pilihan, jadi lakukanlah perkara yang disukai dan diminati. Jangan beri pendapat selagi tidak diminta atau ditanya. Berkawan dengan individu yang mempunyai minat sama," katanya yang bersyukur dipertemukan dengan rakan-rakan yang mempunyai minat sama sepertinya. -CARI