Pernah diuji dijangkiti wabak Covid-19 pada Julai tahun lalu, pelakon Mawar Rashid mengakui berat badannya turun mendadak akibat kesan jangkitan virus itu.
Menurut Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, dia hilang selera makan selama sebulan sehingga berat badannya turun sebanyak lima kilogram. "Memang satu pengalaman yang mencabar sebab bukan saya saja yang dijangkiti, malah suami, anak saya dan ibu saya sampai tahap empat. "Saya dijangkiti teruk sehingga berat badan saya turun lima hingga enam kilogram. Sebab bila sakit sangat, kita tak boleh nak makan sehingga badan saya jadi lemah, lesu dan mudah penat.
"Dan selepas itu saya mengambil masa lebih sebulan untuk sembuh dan kembali bertenaga," kata Mawar kepada mStar.
Mawar ditemui ketika majlis pelancaran produk terbaharu pelakon Janna Nick iaitu White Fluffy di De.Wan 1958 by Che Wan @ The Linc, Kuala Lumpur baru-baru ini. Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-33 itu bagaimanapun menganggap ujian yang dilalui itu mempunyai hikmah tersendiri apabila dia tidak perlu mengamalkan diet untuk menurunkan berat badannya.
"Sebenarnya sebelum disahkan positif COVID-19 saya memang berusaha untuk menurunkan berat badan tapi agak sukar. Tak sangka berat badan saya turun disebabkan virus itu. "Sebelum dijangkiti berat badan saya 52 kilogram dan sekarang 47 kilogram. Jadi, sekarang saya hanya menjaga pemakanan supaya berat badan tak naik lagi," katanya. Pada Julai tahun lalu, Mawar dan suami Raf Yaakob serta dua anak, Raden Muhammad Rafael, 2, dan Raden Seri Rosabella Cinta, 12 bulan disahkan positif Covid-19.
Dalam perkembangan lain, pelakon drama Malaysian Ghost Stories itu berkata dia merancang untuk kembali aktif berlakon pertengahan tahun ini. "Jadi mungkin selepas Hari Raya Aidilfitri saya mula kerja balik. Sebenarnya tawaran banyak dan ramai yang bertanya tapi buat masa saya tak menjayakan apa-apa sebab nak rehat buat sementara waktu.
"Sebab kalau saya terikat dengan penggambaran, saya akan sibuk, jadi kasihan pada anak rindu pada saya. Jadi insya-Allah selepas Hari Raya, saya mula balik," katanya. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|