Pelakon Siti Saleha, 32, berterima kasih atas keprihatinan ramai terhadapnya selepas perceraiannya dengan bekas suami, Ahmad Lutfi Azhar, 36, baru-baru ini. Saleha berkata, dia terharu dan menghargai setiap sokongan yang diberikan kepadanya dan menyifatkan takdir tertulis untuknya adalah aturan terbaik daripada Allah. "Assalamualaikum. Pertama sekali, terima kasih tidak terhingga untuk kata-kata sokongan yang indah, ingatan dan doa pada waktu penuh dugaan ini. "Saya menghargai setiap satu dan anda semua. Kita hanya mampu merancang tapi pada pengakhirannya, Allah lebih tahu yang terbaik," katanya. Pelakon 7 Hari Mencintaiku itu juga memohon diberikan ruang untuknya bertenang buat masa sekarang. Terdahulu, Saleha mengesahkan dia sah bercerai dengan Ahmad Lufti dalam satu prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor, pada 17 Januari lalu. Dia akui perceraian itu berlaku secara baik dan reda jodohnya dengan hanya bertahan selama empat tahun. Dia juga enggan mengulas lanjut mengenai butiran berkenaan prosiding yang berlangsung itu. Pasangan berkenaan melangsungkan pernikahan pada 28 Julai 2017 dan mereka tidak dikurniakan cahaya mata. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT