Di Jawa Tengah, Indonesia, sepasang ibu bapa yang tidak dapat menerima kematian anaknya menyimpan jenazah remaja perempuan berusia 14 tahun itu di rumah.
Memetik laporan Detik News, pasangan suami isteri iaitu Rahmad dan Prihati percaya anaknya masih bernyawa dan akan hidup semula.
Kata Ketua Kampung, Umroni, perbuatan mereka terbongkar apabila kampung berkenaan heboh dengan kes pengawetan mayat remaja perempuan.
"Jenazah disimpan di sebuah bilik di rumah mereka. Kebetulan, rumah mereka jauh dari rumah penduduk kampung lain.
"Mayat sudah kehitaman tapi tidak mengeluarkan bau busuk. Oleh itu, mereka percaya anak akan hidup kembali. Mereka hanya menyedari kesilapan mereka selepas dinasihati oleh jabatan agama," katanya.
Difahamkan, keluarga itu baru-baru ini sedang mengamalkan ilmu tertentu menyebabkan mereka tidak mengebumikan arwah.
Bagaimanapun, hasil rundingan jabatan agama dan pasangan suami isteri itu, jenazah kemudian disemadikan berdekatan dengan rumah mereka.
Kata Umroni lagi, hasil pemeriksaan klinik berdekatan mendapati remaja itu meninggal dunia akibat penyakit tuberkulosis yang dihidapinya sejak enam bulan lalu.
"Arwah sepatutnya menjalani pemeriksaan bulanan, namun tidak hadir sejak dua bulan lalu," kata Umroni - CARI