London: Britain tidak seharusnya memulakan pemberian dos keempat vaksin Covid-19 sehingga lebih banyak bukti diperoleh untuk menunjukkan keberkesanannya.
Pandangan itu dilontarkan oleh seorang pakar vaksin di negara ini, Andrew Pollard yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI). Katanya, JCVI menasihati barisan kepemimpinan Britain rancangan untuk memberikan suntikan dos penggalak kepada semua penduduk di negara ini dalam tempoh setiap enam bulan adalah ‘tidak masuk akal’. Jelas Pollard, program imunisasi pada masa akan datang sepatutnya menyasarkan golongan yang berisiko, bukan melibatkan semua penduduk. “Kita sepatutnya menghasilkan vaksin atau dos penggalak kepada golongan yang berisiko bagi melindungi mereka daripada komplikasi serius. “Kita tahu ramai orang mempunyai antibodi yang kuat selepas mendapat dos ketiga, namun lebih banyak data diperlukan bagi melihat kekerapan vaksin yang perlu diambil oleh golongan berisiko. “Kita boleh memberi vaksinasi kepada setiap orang di planet ini bagi setiap enam bulan. Kita tidak akan mampu melakukannya, selain tidak praktikal,” katanya. Pollard juga merupakan ketua pengkaji dalam ujian klinikal vaksin Covid-19 keluaran Oxford iaitu AstraZeneca. Setahun selepas vaksin itu digunakan di seluruh dunia, beliau yakin dengan keupayaan AstraZeneca melindungi masyarakat daripada Covid-19, termasuk Omicron. AS, UK HADAPI TEKANAN Pihak berkuasa kesihatan Israel sudahpun memulakan dos keempat vaksin Covid-19 terhadap penduduknya dan situasi itu secara tidak langsung memberi tekanan kepada AS dan United Kingdom (UK) untuk melakukan hal yang sama biarpun kedua-dua negara bertegas tiada keperluan untuk memberi dos berkenaan. Para saintis menegaskan bahawa pemberian vaksin untuk setiap tiga hingga empat bulan sekali bukanlah kaedah terbaik untuk melindungi masyarakat daripada varian Omicron. Sebaliknya, para saintis menggesa supaya lebih banyak data disediakan mengenai keberkesanan dos keempat sebelum melaksanakannya. Beberapa kumpulan pakar berpandangan, faedah pemberian suntikan penggalak adalah minimum kerana tujuan utamanya adalah untuk mengelak komplikasi jangkitan yang serius serta mengurangkan kematian. Mereka menjelaskan, perkara itu sudah pun dibantu oleh pemberian dua dos vaksin sebelum ini. DOS KEEMPAT MUSTAHIL Menurut Pollard, sehingga hari ini, kurang dari 10 peratus penduduk dari keluarga berpendapatan rendah sudah menerima suntikan dos pertama, maka idea untuk melaksanakan dos keempat adalah mustahil. Beliau mengulangi pendiriannya bahawa perlindungan terhadap golongan berisiko perlu ditingkatkan supaya dapat mewujudkan gelombang perlindungan yang menyeluruh. “Kita perlukan lebih banyak data dan hasil kajian sebelum membuat keputusan itu (pemberian dos keempat). “Biarpun kes jangkitan Covid-19 di UK ketika ini adalah tinggi, namun kes yang melibatkan komplikasi teruk masih dapat dikawal susulan pemberian vaksin sebelum ini,” ujarnya. VAKSIN PERLU DIKEMAS KINI Pollard berpendapat, adalah lebih baik sekiranya vaksin Covid-19 sedia ada dikemas kini untuk melindungi masyarakat daripada semua varian Covid-19. Katanya, proses untuk menambah baik fungsi sesuatu vaksin itu tidak boleh dilakukan dalam tempoh singkat dan vaksin sedia ada hanya berfungsi mencegah komplikasi serius serta mengurangkan kematian. SALAH FAHAM TENTANG VAKSIN Pollard memberitahu, pemberian dos vaksin yang lebih banyak kepada masyarakat hanya akan menimbulkan kurang percaya atau keyakinan terhadap fungsi vaksin. Jelasnya, keadaan itu diburukkan lagi dengan pelbagai propaganda negatif oleh kumpulan antivaksin. “Pemberian vaksin sepatutnya dilakukan secara sukarela dan dengan persetujuan. “Namun, apabila melibatkan banyak dos, masyarakat akan mula berfikir apakah keputusan mereka untuk ambil vaksin sebelum ini adalah tepat dan kenapa mereka perlu mengambil dos tambahan dengan lebih kerap?” jelasnya. – CARI Sumber: Utusan Online
|
dua_chzy replied at 6-1-2022 05:40 PM
Korang yang dah ambik 2 dos wajib cucuk. Sebab antibodi dah kacau.
Dalam Covidnow pun (seblom ni) ...
Dwdrum replied at 7-1-2022 09:45 AM
Tidak juga satistic di ambil kira since di awal covid... Perlu beklog data untuk buat comparison.. ...
dua_chzy replied at 7-1-2022 09:56 AM
Iya akak memang udah beklog. Jika dikira data dari 2020 haruslah paling ramai mati yang tak vaksin ...
ADVERTISEMENT