Elisya Sandha mengakui sukar untuk mendekati gandingannya menerusi drama bersiri Oh My Hantaran, Noki K-Clique kerana sikapnya yang pemalu dan tidak banyak bercakap.
Elisya berkata, penyanyi kelahiran Sabah itu semakin selesa pada hari kedua dan memudahkan keserasian antara mereka untuk menjayakan drama arahan Shuhaimi Lua itu. "Sejujurnya saya sukar untuk memahami percakapan Noki kerana loghat Sabah yang kuat, namun lama-kelamaan saya pula semakin mendalaminya. Tidak terlalu mahir, namun boleh faham juga percakapan mereka. "Apatah lagi, bukan Noki seorang saja, malah rakan baiknya yang juga anggota K-Clique iaitu MK turut sama berlakon dalam drama ini. Saya suka mendengar perbualan mereka, namun sukar untuk faham pada peringkat awal," katanya.
Menurut Elisya, biarpun sukar mencipta keserasian pada awalnya, segalanya berlangsung dengan baik selepas masing-masing mula berborak dan saling berkenalan. "Bercerita mengenai keserasian bersama Noki, memang pada mulanya kami belum sempat berkenalan rapat lagi. Mungkin ramai yang tidak tahu, Noki sebenarnya pemalu dan tidak banyak bercakap jika belum kenal. "Namun apabila sudah selesa memang banyak yang dibualkan. Biarpun kali pertama berlakon bersama, namun keserasian itu tidak susah untuk diwujudkan," katanya ketika sidang media drama bersiri Oh My Hantaran yang diadakan secara maya.
Drama 20 episod arahan Shuhaimi Lua itu muka bersiaran sejak 29 Disember lalu, setiap Isnin hingga Khamis di slot Diandra saluran TV9 jam 8.30 malam. Oh My Hantaran mengisahkan Mira (Elisya) iaitu gadis idaman kampung yang bercinta dengan Mail (Noki K-Clique) seorang pemuda kampung yang sangat menghormati orang tua. Namun hubungan itu tidak direstui dan bapa Mira meletakkan wang hantaran tinggi buat Mail. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|