Penduduk Pulai Bali gempar apabila seorang lelaki tinggal bersama mayat ibunya selama hampir dua bulan kerana dikatakan bagi menurut wasiat terakhir ditinggalkan wanita itu, lapor Suara.com.
Putu Sugiarta, 53, membiarkan mayat Wayan Terpi, 96, di rumah mereka selama 56 hari selepas wanita itu meninggal dunia pada 3 November lalu. Lelaki itu dikatakan menggunakan ais dalam kuantiti yang banyak bagi mengawet mayat ibunya agar tidak rosak dan berbau. Menurut laporan, Wayan meninggalkan pesanan terakhir kepada Putu agar mayatnya dibiarkan selama empat bulan di rumah tanpa memberitahu ahli keluarga yang lain.
Bagaimanapun, insiden itu berjaya dihidu ahli keluarga lain yang pergi ke rumah mereka untuk menjenguk keadaan Wayan. Sejurus mengetahui bahawa wanita itu telah meninggal dunia, mereka membuat keputusan untuk segera mengebumikan mayatnya, namun permintaan itu ditolak Putu sehingga memaksa ahli keluarganya melaporkan perkara itu kepada Balai Polis Seririt. “Ahli keluarga yang lain tidak dibenarkan menjenguk mayat Wayan selain hasrat mereka untuk mengebumikannya turut dihalang Putu,” kata Komisioner Polis, Gede Juli. Tambah Gede, berdasarkan siasatan, Wayan meninggal dunia pada 3 November lalu kerana sakit tua. “Mendiang tinggal berdua bersama anaknya (Putu). Menurut Putu, ibunya ada meninggalkan pesanan agar mayatnya dibiarkan dahulu di rumah sekurang-kurangnya empat bulan tanpa memberitahu keluarga yang lain sebelum dikebumikan,” katanya. Mayat Wayan akhirnya telah dikebumikan dan polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dalam insiden tersebut. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT