Berang dengan perlakuan teman lelaki yang cerewet menyebabkan seorang wanita di Jacksonville, Amerika Syarikat (AS) meracuni lelaki itu.
Wanita terbabit membuat keputusan tanpa berfikir panjang dengan meletakkan racun dalam minuman teman lelakinya. Alvis Parrish, 54, menghadapi tuduhan meletak racun dalam makanan atau air dengan niat untuk membunuh atau mencederakan seseorang. Menurut laporan NBC, wanita terbabit ditahan di Balai Polis Jacksonville selepas pegawai penyiasat menjalankan siasatan di rumah pasangan itu.
Namun, ketika pegawai polis tiba, wanita terbabit yang berada di depan rumah memanggil pasukan siasatan. Ketika dihampiri polis, wanita terbabit terus membuka rahsia dia bertanggungjawab atas kejadian itu. "Saya meracuninya (teman lelaki) kerana dia terlalu cerewet. "Saya memberinya racun yang cukup untuk melemahkannya sebelum memanggil kamu," katanya. Beliau berkata, dia tidak kisah apa saja yang berlaku terhadap teman lelakinya itu asalkan mereka tidak lagi kekal bersama. Mangsa yang ditemui kelihatan begitu lemah dan mengakui sukar untuk bernafas. Parrish meletak sejenis racun yang boleh menyebabkan sesiapa yang minum akan berasa mengantuk. "Saya tidak pasti tujuan dia meletakkan bahan itu ke dalam minuman saya," kata mangsa. Doktor menggunakan ubat berkenaan sebagai ubat tidur selain digunakan untuk bipolar dan skizofrenia. Mangsa kemudian segera dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Polis juga sudah menemui bahan yang digunakan dalam kejadian itu yang disorokkan suspek di dalam rumah. Parrish kemudian ditahan polis untuk siasatan lanjut. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT