Lampung: Satu video yang menunjukkan sejumlah penduduk kampung mengusung keranda sambil menyeberangi sungai deras menjadi tular dalam media sosial di negara ini.
Video itu dirakam ketika orang ramai mahu mengebumikan seorang penduduk yang meninggal dunia di Desa Penyandingan di Pesawaran, Lampung kelmarin. Individu yang merakam video tersebut, Kurniawan memberitahu, kejadian seperti itu sudah sering berlaku. Katanya, penduduk kampung terpaksa menyeberangi sungai kerana tiada kemudahan jambatan.
“Sudah lama kami tidak mempunyai jambatan dan sudah beberapa kali kami berdepan dengan situasi ini (mengusung keranda untuk pengebumian). “Kami tidak kisah jika kerajaan hanya bangunkan jambatan sementara, asalkan ada untuk mudahkan kami menyeberangi sungai,” katanya. Kurniawan memberitahu, sungai itu merupakan satu-satuny akses untuk menuju ke tanah perkuburan. Jelasnya, ada kalanya pengebumian terpaksa ditunda apabila paras sungai tinggi dan deras. -CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT