Perjalanan seni pelakon muda, Bella Dowanna semakin membuahkan hasil apabila kehadirannya pantas meraih perhatian ramai.
Selepas kejayaan dalam drama bersiri Budak Tebing di TV3, pemilik nama sebenar Qystinna Istajibilla Dowanna Halim ini dihujani pelbagai tawaran berlakon. Terbaharu, gadis berusia 18 tahun itu membintangi sitkom berjudul #Cheritera yang sudah menemui penonton di TV9. Mengakui bersyukur dengan setiap limpahan rezeki yang diterima, Bella bagaimanapun enggan mensia-siakan kehidupannya tanpa mengambil peduli soal akademik.
Bella berkata, dia kini melanjutkan pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Shah Alam, Selangor dalam bidang seni kulinari.
"Saya bersyukur dengan setiap rezeki dan tawaran yang diperoleh ketika ini. Bagaimanapun, saya tidak boleh sia-siakan masa depan saya. Saya kini melanjutkan pelajaran dalam bidang seni kulinari. "Jadi, kalau ada penggambaran yang mengambil masa panjang, saya terpaksa melakukannya ketika cuti semester, tapi sekarang ini kelas masih dilakukan secara dalam talian, sekali gus tidak memberi tekanan. "Namun, sebaik memasuki semester kedua nanti, saya kena susun semula jadual saya supaya tidak mengganggu waktu kerja dan pengajian," katanya.
Bella berkata, keputusan untuk melanjutkan pelajaran adalah inisiatif sendiri kerana soal akademik tidak boleh diabaikan. "Saya sendiri nak sambung belajar sebab tak nak sia-siakan waktu muda dengan bekerja semata-mata. Saya perlukan ilmu untuk bekalan pada masa depan. "Walaupun saya tahu kerjaya lakonan ini penting, tapi ilmu juga adalah sesuatu yang perlu ditimba dan sekurang-kurangnya saya dapat memegang segulung ijazah," katanya. Melihat sisi kehidupan Bella, gadis kelahiran Ipoh, Perak itu dilihat bersih tanpa kontroversi, sekali gus bijak membawa diri dalam dunia glamor yang penuh dugaan dan cabaran ini.
Menurutnya, sebagai anak seni dia seboleh mungkin memilih untuk mengelak daripada terjebak dalam mana-mana kisah murahan, bimbang mencontengkan arang ke muka sendiri dan keluarga. "Kalau boleh saya nak kekalkan imej bersih ini selama mungkin. Saya enggan diri saya terpalit dengan cerita murahan yang kemudian akan memberi imej tidak baik kepada diri saya. "Saya tak takut dikecam sebab apa kita buat pun pasti ada yang tidak suka, tapi kalau boleh elak kita elakkan. "Lagipun, saya enggan mencari publisiti dengan kontroversi yang tidak baik. Biar orang kenal saya dengan kualiti lakonan yang saya pamerkan," katanya.
Bercerita mengenai lakonannya dalam #Cheritera, Bella berkata, menerusi sitkom arahan Datuk Jurey itu dia memegang watak sebagai Puteri Bella. "Ini adalah pengalaman kali pertama saya menjayakan sitkom. Sangat-sangat seronok apabila mendapat peluang ini kerana ia satu pengalaman baru.
"Saya juga diajar oleh Datuk Jurey untuk bersahaja dan tidak perlu menjadi orang lain. Cuma saya perlu jadi nakal dan jahat dalam watak ini. "Namun, secara keseluruhannya saya tidak berdepan kesukaran sebaliknya seronok diberi peluang ini," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|