Seorang lelaki yang menyeludup video siri popular Netflix Korea Selatan Squid Game ke Korea Utara dijatuhi hukuman mati.
Ia selepas pihak berkuasa negara berkenaan menangkap pelajar sekolah menengah menonton rancangan itu, menurut Radio Free Asia (RFA). Agensi berita bebas RFA melaporkan siri itu diseludup masuk dari China menerusi pemacu kilat USB dan individu berkenaan berdepan hukuman mati oleh skuad tembak Korea Utara. "Seorang pelajar yang membeli USB itu dikenakan hukuman penjara seumur hidup, manakala enam lagi yang menonton rancangan itu telah dijatuhi hukuman berat selama lima tahun dan guru serta pentadbir sekolah dipecat dan dibuang bekerja di lombong terpencil," ujarnya.
Pada Disember 2020, Korea Utara meluluskan akta 'Penghapusan Pemikiran dan Budaya Reactionary' yang melarang kemasukan dan penyebaran bahan budaya seperti filem, drama, muzik dan buku di negara itu. Perbuatan itu terutama bertujuan untuk menghalang penyebaran media dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat dan mereka yang didapati mengedar atau menggunakan ini boleh dihukum. April lalu, seorang lelaki telah dihukum bunuh secara terbuka kerana menjual pemacu dan CD yang mengandungi bahan Korea Selatan. Squid Game khususnya telah mencetus kemarahan dalam pemerintahan diktator. Portal berita Korea Utara, Arirang Meari mengecam drama survival berkonsep tinggi sebagai menggambarkan 'realiti menyedihkan masyarakat Korea Selatan yang kejam'. Laporan RFA berkata, terdapat kebimbangan orang ramai terhadap nasib pelajar sekolah menengah dan lebih ramai orang boleh terlibat dalam penyiasatan itu. Variety telah menghubungi Netflix untuk mendapatkan komen. Netflix tidak tersedia di China, tetapi Squid Game sudah dicetak rompak secara meluas di negara itu. –CARI Sumber: The Star |
ADVERTISEMENT