Pengarah terkenal Shahrulezad Mohameddin berkongsi rasa terkilan terhadap kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang menasihatkan pemain industri seni tanah air tidak memperbesarkan isu gangguan seksual yang berlaku dalam kalangan mereka.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Shahrulezad seperti hilang kata-kata apabila Annuar mengeluarkan kenyataan seolah-olah cuba menjadikan isu gangguan seksual sebagai perkara biasa dan dianggap remeh. “Serius, Tan Sri? Saya speechless (hilang kata-kata) apabila Menteri cakap seperti ini. Apabila budaya gangguan seksual cuba dinormalisasikan dan menjadi sesuatu yang tidak perlu diperbesarkan dan dianggap remeh,” tulisnya.
Ujar pemilik rumah produksi Radiusone itu, dia tidak menafikan bahawa gurauan berunsur lucah sememangnya terjadi dalam kalangan kru dan juga artis sehingga menjadi budaya dalam industri. “Gurauan berunsur seksual antara kru dan artis. Mula-mula sekadar gurauan yang akhirnya membawa ke peringkat yang lebih serius. Yang muda dan senior bercakap lucah (gurauan) sesama sendiri dengan niat bergurau seakan-akan menjadi satu budaya dalam industri. “Dahulu ketika masuk industri, saya juga terganggu dengan perkara ini (gurauan lucah), tetapi lama- kelamaan, saya sendiri kadang-kadang mendiamkan diri (salah saya) sebab sikit-sikit kita dah mula terpaksa terima budaya ini,” katanya.
|
ADVERTISEMENT