Pasir Gudang: Masyarakat Orang Asli Seletar di Kampung Teluk Jawa di sini memohon bantuan pihak berwajib khususnya Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk membantu melakukan kerja-kerja baik pulih di sekitar kediaman mereka.
Wakil masyarakat, Awie Mee, 39, memberitahu, selain keadaan kediaman yang semakin usang, masyarakat perkampungan itu amat mengharapkan bantuan membaiki titi yang menyambungkan kediaman mereka. Menurutnya, mereka telah menghantar surat permohonan bagi tujuan pembaikan tersebut kepada Jakoa sejak lebih setahun lalu, namun sehingga kini masih belum menerima jawapan balas. “Keadaan kayu yang digunakan untuk pembinaan struktur titi berkenaan sudah usang dan jika dibiarkan ia dibimbangi akan mendatangkan kemudaratan kepada penduduk setempat. “Jadi kami amat berharap pihak berwajib dapat membantu dalam membina titi baharu menggunakan konkrit atau sekurang-kurangnya menukar kayu baharu yang lebih kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. Tambah Awie, perkampungan Orang Asli yang sudah berusia lebih 100 tahun itu dihuni seramai 40 keluarga dengan majoriti daripada mereka bekerja sebagai nelayan. Seorang lagi Orang Asli di perkampungan itu, Aiman Majid, 35, juga berharap kerajaan dapat membantu membaik pulih kira-kira 40 buah kediaman yang terdapat di perkampungan berkenaan. “Majoriti rumah di kampung ini dibina menggunakan kayu di atas laut dan kebanyakannya sudah usang dan terdapat pelbagai masalah. Malah, ketika ini banyak hutan bakau sudah dimajukan dan penduduk sukar untuk mendapatkan kayu berkenaan bagi menggantikan tiang lama di rumah mereka. “Selain atap yang bocor, ada juga dinding yang sudah pecah serta lantai kayu yang semakin usang, jadi kami berharap pihak kerajaan dapat tampil membantu melakukan kerja pembaikan sebelum berlaku sebarang perkara tidak diingini,” jelasnya. Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memberitahu, pihaknya sudah mengemukakan surat permohonan bantuan kepada Jakoa untuk mendapatkan peruntukan bagi menaik taraf kehidupan masyarakat Orang Asli di kampung tersebut. -CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT