London: Seorang lelaki di United Kingdom (UK) yang menjalani hukuman penjara kerana menghumban budak dari tingkat sebuah muzium kini ditangkap kerana meliwat banduan lain.
Daily Star melaporkan perbuatan Jonty Bravery, 20, dipercayai menodai banduan terbabit ketika mandi di penjara Belmarsh, dekat tenggara bandar ini. Portal itu melaporkan perbuatan lelaki itu terbongkar selepas mangsa memberitahu banduan lain, yang kemudian memaklumkan pegawai penjara mengenai kejadian berkenaan. "Polis masuk ke penjara pada Khamis dan menangkap Jonty. Dia disoal siasat selama berjam-jam," kata seorang sumber kepada akhbar The Mirror.
"Seorang lelaki berusia 20-an ditahan kerana disyaki meliwat dan dibawa ke balai polis London Selatan. "Dia dibebaskan dan dihantar semula ke penjara. Siasatan sedang dijalankan," kata jurucakap polis Metropolitan UK. Sementara itu, jurucakap Perkhidmatan Penjara berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan polis bagi membantu siasatan. Bravery yang autisme dan pada usia 17 tahun, dia menghumban seorang budak lelaki Perancis berusia enam tahun dari tingkat 10 bangunan Muzium Tate di tengah London, pada Ogos 2019. Berikutan itu, Bravery dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, minimum 15 tahun untuk kesalahan dilakukannya. Insiden itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan otak dan tulang belakang patah berikutan kecederaan yang dialami akibat tercampak. Keluarga mangsa tidak pernah mendedahkan identiti Bravery, tetapi memberikan maklumat terkini mengenai perkembangan anak mereka. Mereka juga berkongsi perjuangan kanak-kanak lelaki berkenaan untuk kembali berjalan dan makan. Tetapi, bulan lalu, keluarga itu mendedahkan mangsa yang kini berusia lapan tahun sudah kembali ke sekolah. "Mengenai 'pahlawan kecil' kami, ujiannya di sekolah berjalan dengan baik, berada dalam keadaan selamat dan dia gembira untuk pergi (ke sekolah)," kata ibu bapa kanak-kanak berkenaan dalam kenyataan bersama. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT