Sering menggunakan perkataan 'lucky' termasuk menamakan kelab peminat, Lucky Fighter, pelakon baharu, Nadhir Nasar mengharapkan, perkataan berkenaan membawa rezeki buatnya.
Ini termasuklah harapannya untuk memenangi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34. Bolos dalam kelompok Top 5, jejaka kelahiran Michigan, Amerika Syarikat itu terlebih dahulu mengecapi kejayaan sebagai juara pertandingan Hero Remaja pada 2020. Menerusi ABPBH 34, Nadhir atau nama sebenarnya, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar berentap dengan Meerqeen yang turut digilap bakat menerusi pertandingan Hero Remaja, selain Aliff Iskandar, Dinie Rashid dan Fadh Majid.
"Siapa tidak mahu menang? Kemenangan pasti menjadi sasaran sesiapa sahaja yang berentap. Saya juga tidak terkecuali. "Selepas penyokong dan kelab peminat berhempas pulas memastikan saya membolosi kelompok finalis, pastinya perjuangan ini diteruskan penghujung pengundian.
"Namun, saya akur, pertandingan seperti ABPBH ini mengangkat kuasa mutlak undian peminat, apa sahaja boleh berlaku. Jika tuah kepada saya, pastinya itu akan menjadi hadiah bermakna buat peminat," katanya. Mengulas lanjut mengenai penggunaan perkataan 'lucky', Nadhir yang memulakan kerjaya sebagai peragawan menganggap ia umpama kalung azimat atau 'lucky charm'.
"Kawan sekolah saya selalu panggil dengan gelaran 'Lucky' kerana dua sebab. "Pertama, saya selalu bernasib baik di sekolah. Biarpun sering berkelakuan nakal, tetapi selalu terlepas hukuman. Malah, saya seperti ada imuniti hingga dijauhkan dengan masalah. "Kedua, saya cukup meminati model bernama Lucky Blue Smith ketika menceburi bidang peragaan," katanya. Hampir setahun membina nama sebagai pelakon, Nadhir mula menyerlah menerusi watak Syafiq menerusi drama i-Tanggang: Mother Of All Lies siaran Astro Citra. Malah, nama dan lakonannya tular dalam aplikasi TikTok. Lantunan suaranya menghidupkan watak Syafiq.
Hingga ada yang menyangka dirinya dan Beto Kusyairy sebagai adik beradik kerana memiliki wajah seiras dan berbakat besar. "Momentum seni saya bermula agak lambat. Namun, bakat saya mula diperhatikan apabila membintangi drama ini.
"Saya anggap pada akhirnya tuah dan rezeki datang tanpa dijangka. Saya harap ia permulaan baik untuk saya membuktikan kemampuan diri," katanya yang pernah membintangi drama Tercipta Satu Ikatan dan Projek: Anchor SPM. Terdahulu, artis naungan Laugh Out Loud Entertainment itu tular apabila disamakan dengan wajah bintang K-Drama popular, Jung Ho Yeon dalam drama fenomena, Squid Game. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|