Bayangan Diana Johor, 40, sering timbul tenggelam sejak empat tahun lalu, malah ramai beranggapan pelakon dan penerbit itu sudah mengatur langkah mengundurkan diri.
Lebih jadi bualan apabila Diana jarang memuat naik perkembangan aktiviti dalam laman sosial selepas mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Hazman Thobrani, 46, pada 2018. Kini, Diana muncul kembali dan berhasrat kembali aktif dengan merancang menghasilkan drama dan filem di bawah syarikat produksi miliknya, Panthera Motion Pictures Sdn Bhd yang diusahakan sejak 2014. Diana berkata, kali terakhir muncul dalam filem Perangsang Rentap pada 2017, namun, kemudiannya mendirikan rumah tangga.
"Saya akui sudah lama menyepi. Saya fokus sebagai suri rumah selepas mendirikan rumah tangga kira-kira tiga tahun lalu. "Jadi, saya mahu menggerakkan semula syarikat produksi dan diharapkan mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan stesen televisyen (TV). "Saya sudah mendapat keizinan suami, malah mendorong saya kembali aktif. Disebabkan itu, saya mula mengatur langkah dengan menghantar beberapa kertas kerja.
"Insya-Allah, saya mahu fokus dengan kerja seni. Saya berharap orang luar tidak fikir saya sudah berundur diri," katanya kepada BH Online. Mengulas apakah faktor menjadi penyebab menyepikan diri, Diana berkata, dia mahu menumpukan perhatian sebagai isteri. "Saya memang tidak aktif dalam laman media sejak beberapa tahun ini. Jujurnya, saya hidup bermadu, jadi banyak perkara yang tidak boleh dikongsi demi menjaga hati keluarga sebelah sana.
"Itu juga antara faktor saya menyepikan diri. Sekarang, saya harap semua tahu saya masih lagi mahu meneruskan kerjaya sebagai pelakon dan pembikin filem. "Sebelum ini, agak sukar berikutan saya banyak menemani suami bekerja di Terengganu. Jadi, kami kerap berulang-alik ke sana. Saya juga tidak boleh fokus perkara lain sebab menyokong perniagaan suami," katanya yang kali terakhir membintangi telefilem Hantu Raya Balik Kampung pada 2019.
Mengulas spekulasi mendakwa menghadapi masalah rumah tangga, Diana menafikan, malah, rumah tangga dalam keadaan baik-baik sahaja. "Saya tiada masalah rumah tangga. Hubungan saya dan suami masih baik, Alhamdulillah. Bagaimanapun, kami belum dikurniakan cahaya mata. "Saya tahu ramai tertanya-tanya mengenai perkahwinan saya. Memang saya tidak berkongsi dengan umum kerana majlis perkahwinan tidak diadakan demi menjaga pihak sebelah sana. "Tetapi, apa yang boleh saya kongsi, sekarang ini keadaan semuanya baik-baik. Malah, saya dengan madu pun tiada masalah," katanya.
Diana yang kini istiqamah dengan imej bertudung berharap dapat kembali aktif dibayangi kehidupan peribadinya. Diana menceburi dalam dunia belakang tabir sejak 2008 menerusi produksi yang diusahakan bersama kembarnya, Lina iaitu Unique Twins Sdn Bhd. Panthera Motion Pictures Sdn Bhd adalah salah satu anak syarikat kepada produksi berkenaan. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|