Sweet Qismina, 24, mengaku tidak kisah andai ada yang melabel dirinya sebagai ‘anak emak’ lantaran dilihat terlalu rapat dengan ibunya, Misnah Atan walaupun tidak lama lagi bakal bersuami.
Menurut Sweet, gelaran itu seringkali diterimanya sejak menceburi bidang seni ketika dikenali sebagai antara pelakon cilik di Malaysia. “Setiap kali orang cakap saya ini anak emak, saya akui hal itu. Memang pun saya anak emak. Itu antara rezeki besar yang tak semua dapat dan saya sangat bersyukur. “Dialah baba (ayah), mama, kawan baik, kawan gaduh, penghibur, penasihat dan segala-galanya buat saya,”katanya.
Sweet berkata demikian dalam satu perkongsian di Instagram menerusi sekeping gambar bersama ibunya yang dimuat naik sempena ulang tahun kelahiran wanita tersebut.
Selain itu, Sweet juga memberitahu, ibunya itu juga mempunyai karakter yang sangat disenangi oleh semua orang tanpa mengira sesiapa. “Dia sangat-sangat keibuan dengan sesiapa pun. Mana tak semua orang dalam industri ini kenal dia? Semua dah jadi anak angkat dia. “Terima kasih Ya Allah.Rezeki tidak ternilai dalam hidup saya dan diharapkan agar Kau panjangkanlah umur mamaku ini. “Selamat ulang tahun mam. Terima kasih menyokong dan jaga saya dengan baik. Saya sayangkan Makcik Ana,”katanya.
Menerusi perkongsian itu, turut dilihat ramai pengikut, peminat serta kenalan Sweet melayangkan ucapan sempena ulang tahun kelahiran ibunya di ruangan komen. Untuk rekod, Sweet baru sahaja mengikat tali pertunangan dengan kekasih hatinya, pelakon Adam Lee, pada 24 Oktober lalu.
Pasangan itu menjalinkan cinta sejak tahun 2018 selepas Sweet mempelawa Adam atau nama Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 27, menemaninya ke sebuah anugerah berprestij selain mula digosipkan dalam drama Adam Chempaka. -CARI Sumber: Utusan Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|