Upah RM250 bagi setiap rumah, itu nilai yang dibayar Ah Long kepada individu yang sanggup melakukan tugas mereka untuk mengganggu peminjam yang gagal melunaskan hutang mereka.
Berkongsi pengalamannya dengan mStar, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Edwin berkata, nilai tersebut ditawarkan satu sindiket Ah Long di Sabah kepadanya untuk melemparkan cat ke rumah peminjamnya yang gagal membayar hutang. “Saya WhatsApp sebab nak maki mereka sebab buat kerja-kerja jadi Ah Long tapi sebelum sempat cakap apa-apa mereka tawarkan saya kerja. “Video-video ini (individu baling cat ke rumah mangsa yang gagal membayar hutang) saya terima daripada Ah Long itu sendiri.
“Mereka menjanjikan RM250 untuk satu rumah, lelaki tersebut suara dia macam warganegara jiran,” katanya. Jelasnya, bayaran setelah melakukan kerja-kerja tersebut akan dibuat secara dalam talian, iaitu setelah dia menghantar video bukti bahawa kerja-kerja khianat tersebut telah dilakukan. Justeru itu dia langsung tidak akan berpeluang untuk kenal dengan individu yang menghubunginya itu. Tangkap layar yang diambil dari video yang dihantar Ah Long terbabit kepada Edwin yang menunjukkan seorang individu sedang melakukan khianat ke atas rumah peminjam. Berasal dari Sabah, Edwin berkata, individu terbabit kemudiannya memilih untuk block nombor telefonnya selepas curiga apabila dia tidak menghantar kad pengenalannya. “Mereka minta kad pengenalan saya sebab mereka nak baling cat dekat rumah saya seandainya saya menipu. “Bila saya tak bagi kad pengenalan saya mereka block nombor saya,” katanya. Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsuddin Mohamad Fauzi berkata, ada Ah Long yang akan memaksa mangsa yang gagal melunaskan hutang untuk melakukan khianat terhadap peminjam lain. “Memang ada kes yang polis dapat tangkap di Miri, suspek yang ditahan itu rupanya peminjam Ah Long dan dia tak dapat bayar balik jadi dia disuruh untuk buat kacau dekat rumah peminjam lain. “Mereka ini tidak dibayar sebaliknya mereka dijanjikan faedah lain macam pengurangan bayaran balik atau diberi tempoh bayaran balik yang lebih panjang dan sebagainya,” katanya. Seorang lagi peminjam yang hanya dikenali sebagai Ida berkata Ah Long ini akan menggunakan akaun bank milik orang lain untuk menerima bayaran balik dari peminjam. “Mereka tidak berani nak berjumpa, semua bayaran balik adalah melalui online transfer, ada yang akaun orang Melayu, jarang akaun orang Cina, kalau ada pun Cina Singapura, sebab susah nak detect, tapi kebanyakan memang akaun orang Melayu. “Ada juga yang gunakan akaun syarikat,” katanya yang menetap di Tanah Merah, Kelantan. -CARI Sumber: mStar Online
|
ADVERTISEMENT