Nasib Ambulans Dalam Kesesakan Kl
KESESAKAN jalan raya walaupun pada hujung minggu di ibu kota itu perkara biasa di mata penulis.
Namun, apabila ambulans tersangkut dalam kesesakan jalan raya dan pemandu kereta lain hanya buat tak tahu, itu suasana yang luar biasa.
Siren ambulans terus berbunyi tanpa henti dari arah belakang namun gara-gara lorong untuk dua buah kereta dilalui oleh tiga buah kereta, maka tiada ruang untuk ambulans tersebut 'menyelit'.
Menurut pemerhatian penulis sewaktu kejadian baru-baru ini, ambulans tersebut sudah menanti laluan tersebut 'dibuka' kira-kira 15 minit namun masih tiada kenderaan yang berusaha memberi jalan.
Memang diakui semua orang mahu tiba cepat ke destinasi masing-masing namun, negara ini mempunyai undang-undang jalan raya yang wajib dipatuhi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Rupa-rupanya, pada tahun 2015 ini masih ada rakyat negara kita yang bersikap endah tak endah dengan keadaan sekeliling meskipun ia melibatkan nyawa orang lain.
Situasi ini hampir serupa apabila laluan kecemasan di lebuhraya-lebuhraya tertentu disalahguna pemandu yang tidak bertanggungjawab seperti yang dilaporkan sebelum-sebelum ini.
Jika situasi seumpama ini terlalu sering berlaku dan terus berulang, penulis bimbang ia akan mengancam nyawa pesakit.
Mungkin pihak berwajib wajar mencari jalan penyelesaian terhadap suasana ini terutama di ibu kota yang popular dengan kesibukan maksimanya walaupun pada hujung minggu.
Antaranya, mewujudkan laluan khas yang hanya boleh dilalui ambulans ketika kecemasan seperti laluan khas untuk bas dan teksi yang telah pun disediakan di beberapa kawasan.
Namun, dalam keadaan-keadaan terdesak mungkin anggota polis terutama dari unit trafik boleh bertindak memainkan peranan mengawal jalan di kawasan-kawasan sesak bagi memudahkan ambulans melaluinya tanpa halangan.
Selain itu, kesedaran juga perlu dipertingkatkan kepada masyarakat umum yang mungkin terlupa tentang sifat-sifat terpuji yang wajar diterapkan dalam kehidupan seharian meskipun zaman semakin maju.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|