LadyLista - Pelakon komedi Harun Salim Bachik yang juga bekas presiden SENIMAN disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.20 petang di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol pada Ahad (8/3/15). Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Zed Zaidi, lapor Bernama. Harun Salim Bachik dilaporkan dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang bersama keluarganya. Allahyarham meninggal dunia pada usia 56 tahun dan dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas ketika ke tandas di salah satu stesen minyak di RnR berkenaan. Harun atau nama sebenarnya Haron Aminar Rashid Salim mula dikenali melalui lakonan beliau di dalam drama bersiri Rumah Kedai yang ditayangkan di TV3 pada awal tahun 90-an.
Allahyarham turut dikenali menerusi program bersiri Oh My English yang disiarkan di Astro CERIA. Selain berlakon beliau juga merupakan seorang penyanyi. Pernah menghasilkan satu album pada tahun 1996 yang berjudul Belilah. Lagu yang paling mendapat sambutan dalam album tersebut ialah Banjir. Antara filem-filem lakonan beliau adalah Man Laksa, Baik Punya Cilok, dan Apa Kata Hati. Beliau adalah anak lelaki kepada seorang pelakon zaman 50-an iaitu Allahyarham Salim Bachik. |
ADVERTISEMENT